Pasangan berusia teruja sertai majlis akad nikah beramai-ramai

Sebahagian daripada 30 pasangan yang diijab kabulkan pada Majlis Akad Nikah Semarak Ummah 2023 di Masjid Darul Hana Petra Jaya hari ini. - Foto Bernama
Sebahagian daripada 30 pasangan yang diijab kabulkan pada Majlis Akad Nikah Semarak Ummah 2023 di Masjid Darul Hana Petra Jaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Perkenalan singkat selama lapan bulan dengan masing-masing mempunyai sejarah perkahwinan terdahulu tidak menghalang pasangan raja sehari, Ali Panel, 52, dan Suriyani Suib, 45, untuk merasai kemeriahan upacara akad nikah secara beramai-ramai di Masjid Darul Hana, di sini, hari ini.

Berbekalkan ‘modal’ RM25 bagi borang kebenaran kahwin dan sijil perkahwinan yang masing-masing bernilai RM10 dan RM15 selain mas kahwin, mempelai berkenaan merupakan antara 30 pasangan yang menyertai program Akad Semarak Ummah 2023 itu.

Nancy menyantuni pasangan pengantin pada Majlis Akad Nikah Semarak Ummah 2023 di Masjid Darul Hana Petra Jaya hari ini. - Foto Bernama
Nancy menyantuni pasangan pengantin pada Majlis Akad Nikah Semarak Ummah 2023 di Masjid Darul Hana Petra Jaya hari ini. - Foto Bernama

"Sepatutnya kami merancang untuk berkahwin pada Februari 2024 tetapi ada ternampak penganjuran program ini di Jabatan Agama Islam Sarawak jadi pada saat-saat akhir kami mengambil keputusan untuk memohon pada awal bulan ini.

"Jadi, tak sangka masih ada kekosongan dan kami terpilih untuk menjadi antara pasangan yang berkahwin hari ini, Alhamdulillah urusan kami berdua dipermudahkan,” jelas Ali yang bekerja dalam sektor pendidikan.

Ali dan Suriyani, masing-masing mempunyai tiga anak daripada perkahwinan terdahulu, berkata, mereka berdua tidak berasa kekok meskipun dikelilingi pasangan yang jauh lebih muda, apatah lagi majlis berkenaan dihadiri tetamu kenamaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Hilmy Othman.

"Kami sedar pasangan yang lain jauh lebih muda daripada kami.. majlis ini pun ada tetamu kenamaan, kalau nikah secara persendirian susah nak jemput orang kenamaan,” kata Ali yang berasal dari Kampung Beladin, Betong manakala Suriyani dilahirkan di Kampung Bintangor, Sarikei.

Program Akad Semarak Ummah 2023 dianjurkan oleh Masjid Darul Hana, Pejabat Agama Islam Bahagian Kuching dan Jabatan Agama Islam Sarawak. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!