Calon SPM kena hadir kelas tambahan sebagai pecutan terakhir
SHAH ALAM - Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 meminta calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk hadir ke kelas tambahan sebagai pecutan terakhir persediaan menghadapi peperiksaan tersebut.
Pengetuanya, Rohana Jaafar berkata, tenaga pengajar turut mengorbankan masa untuk melaksanakan tuisyen hampir setiap hari termasuk pada hujung minggu.
“Kebiasaannya, kami (guru) akan beri latihan tubi soalan-soalan SPM negeri lain dari tahun yang berbeza. Alhamdulillah, pelajar memberi komitmen sepenuhnya.
“Kami juga mengambil berat tentang kesihatan dan masalah pelajar supaya tidak mengganggu fokus di dalam kelas,” katanya selepas majlis graduasi tingkatan lima di Hotel De Palma, di sini pada Sabtu.
Majlis berkenaan dirasmikan Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan hadir sama Hashim Anang sebagai Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Tambah Rohana, seramai 428 pelajar tingkatan lima sekolah itu termasuk calon menumpang bakal menduduki peperiksaan SPM pada 30 Januari 2024 sehingga bulan Mac tahun hadapan.
Katanya lagi, pelajar perlu melihat majlis graduasi tersebut sebagai permulaan untuk meneruskan pembelajaran sehingga ke peringkat tertinggi.
“Saya harap ini bukan hari istimewa yang terakhir, tetapi menjadi titik permulaan kepada semua pelajar untuk teruskan belajar sehingga menara gading.
“Kesempatan ini, saya ingin mencabar semua pelajar supaya dapat membuktikan keputusan terbaik yang dijangka keluar pada Mei 2024 dan tunjukkan kepada ibu bapa, guru-guru serta saya sekali gus boleh menaikan imej sekolah kita,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Nasir berkata, calon SPM masih di usia muda, maka perjalanan untuk mencapai kegemilangan akademik terbentang luas.
“Ada beberapa minggu lagi yang berbaki, saya harap agar anak-anak dapat memanfaatkannya untuk mengulang kaji pelajaran dengan sebaiknya.
“Bagi memperoleh keputusan cemerlang, usaha dan pengorbanan secara holistik perlu dilakukan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!