Sukar kesan cap jari pada tubuh mayat basah - Pakar
SHAH ALAM - Kesan cap jari sukar dikesan pada tubuh mayat sekiranya dalam keadaan basah sekali gus berisiko menyukarkan proses siasatan bagi mengenal pasti suspek kes pembunuhan.
Bagaimanapun, siasatan bagi mana-mana kes bunuh tidak hanya bergantung kepada kesan cap jari semata-mata kerana ujian asid deoksiribonukleik (DNA) masih mampu mengesan sebarang sel-sel individu lain pada mayat, yang boleh dijadikan bukti mencari suspek.
Pakar patologi forensik, Datuk Dr Zahari Noor berkata, garis panduan tetap bagi proses siasatan forensik khususnya melibatkan kes bunuh akan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh dalam memastikan tiada satu pun bahan bukti yang tertinggal.
Menurutnya, dalam kes kematian melibatkan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, kesan luka yang ditemui pada mangsa diyakini mampu membuktikan jejak pembunuhnya.
"Mungkin suspek akan cuba tunjuk seperti mangsa mati lemas, tapi luka yang ada itu penting memberikan sebab kematian lain, iaitu itu bukan kes biasa, tapi kes bunuh.
"Biasanya jarang dapat ambil cap jari daripada badan mayat sebab mayat ni keadaannya mungkin basah, dan memang lembab.
"Walaupun mangsa dicekik (seperti yang dilaporkan), sukar dapat kesan cap jari daripada itu (tengkuk mangsa) kerana jarang cap jari melekap pada badan, yang boleh (kesan cap jari) adalah pada barang-barang pada mayat misalnya pada cermin, kad atau cap jari pada baju yang ada kesan darah.
"Tapi, selalunya sukar untuk dapat cap jari pada barang-barang yang basah, terendam atau terkena hujan, melainkan terdapat sel-sel badan yang ada lagi pada barang tersebut, termasuk pada baju mangsa," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau menjelaskan, meskipun terdapat banyak kemungkinan yang menyukarkan proses mengumpul bahan bukti, ia tidak menjejaskan prosedur dijalankan pihak berkuasa.
Katanya, paling utama adalah ujian DNA bagi setiap aspek yang dirasakan wajar bagi membantu siasatan.
"Isu utama ketika bedah siasat adalah pada luka yang ada.
"Misalnya dalam hal ini, apa-apa sahaja benda pada badan mayat, misalnya cecair pada badan mayat yang mungkin darah atau bendalir lain atau mungkin jika pihak berkuasa percaya ada berlaku serangan seksual, sampel juga akan diambil di bahagian dubur.
"Konsep forensik akan ambil apa sahaja yang dirasakan relevan oleh penyiasat tersebut.
"Dapat atau tak dapat, pihak polis dan pakar forensik tetap akan buat semua," katanya.
Tambah beliau lagi, proses mengenal pasti DNA dan cap jari boleh diselesaikan dalam tempoh terdekat lebih-lebih lagi bagi kes penting melibatkan kematian kanak-kanak tersebut.
Dalam tempoh ini katanya, masyarakat dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.
Pada Selasa, Zayn Rayyan dilaporkan hilang namun ditemui meninggal dunia di anak sungai berdekatan kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor dipercayai dibunuh.
Pada awalnya polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut, namun hasil siasatan mendapati terdapat unsur jenayah dan mangsa telah meninggal dunia di tempat lain sebelum diletakkan di lokasi tersebut.
Polis juga mengesahkan kanak-kanak itu maut dipercayai dicekik oleh pembunuhnya apabila bedah siasat dijalankan mendapati terdapat kesan kecederaan konsisten pada leher.
Turut disahkan kematian mangsa bukan akibat lemas di lokasi kejadian tetapi dicekik selain luka lain yang dialaminya untuk mempertahankan diri.
Suspek juga dipercayai adalah individu terdekat yang mengetahui selok-belok kawasan tersebut berikutan penemuan mayat adalah kawasan pencarian yang sudah dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) pada Selasa.
Susulan itu, polis telah merakam keterangan beberapa individu termasuk ibu bapa kanak-kanak tersebut bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!