Kadar dividen Simpan SSPN tahun 2023 dijangka meningkat
SHAH ALAM - Pemberian kadar dividen Simpan SSPN bagi tahun 2023 dijangkakan meningkat berbanding tahun lalu.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, perbadanan tersebut merekodkan pulangan pelaburan deposit Simpan SSPN sebanyak RM287.64 juta bagi tempoh Januari sehingga September 2023.
Ujar beliau, ia sekali gus menyaksikan pencapaian hasil pelaburan lebih baik berbanding RM220.63 juta untuk tempoh yang sama pada tahun 2022.
“Pemberian kadar dividen Simpan SSPN bagi tahun 2022 adalah sebanyak 3.05 peratus.
“Justeru, melihat kepada peningkatan keuntungan pelaburan dan trend prestasi deposit yang membanggakan setiap tahun serta disokong dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat yang ditawarkan, PTPTN menjangkakan pemberian kadar dividen Simpan SSPN bagi tahun 2023 akan meningkat berbanding tahun 2022,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, menurut Norliza, peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada tiga peratus pada 3 Mei 2023 sehingga kini membantu PTPTN memperoleh pulangan pelaburan yang lebih konsisten.
Ulasnya, peningkatan keuntungan itu disokong oleh kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif.
“Pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang telah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan.
“Di samping itu, penglibatan pelaburan dalam pasaran sukuk juga membantu dalam peningkatan pulangan pelaburan tersebut.
“Ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam Simpan SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi,” ujarnya.
Tambah beliau, PTPTN akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman.
“Saya menyeru kepada ibu bapa untuk membuat simpanan di Simpan SSPN kerana pelbagai keistimewaan dan manfaat turut dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN.
“Antaranya produk simpanan ini merupakan satu-satunya yang menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, selain turut memberikan perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!