2,000 sertai Agrikomoditi Walk 2023
Acara yang diadakan sempena Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) 2023 itu dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Fadillah, selain menggalakkan masyarakat khususnya warga kerja KPK terlibat dengan aktiviti sihat, program tersebut bertujuan mengeratkan lagi hubungan di antara warga kerja kementerian itu dengan orang awam.
"Program ini (Agrikomoditi Walk 2023) satu aktiviti yang sangat baik bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara kakitangan dan keluarga, tetapi turut memupuk amalan sihat dalam kalangan lapisan masyarakat tanpa mengira usia serta latar belakang.
"Malah, melalui acara yang ini, ia turut memberi peluang kepada masyarakat mengenali KPK lebih dekat dari segi fungsi, perkhidmatan serta produk yang disediakan,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan para peserta program itu di sini pada Sabtu.
Aktiviti Agrikomoditi Walk 2023 diadakan bersempena HAKN 2023 anjuran KPK yang dilancarkan Fadillah di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), di sini minggu lalu.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya itu berharap program Agrikomoditi Walk dapat diteruskan pada tahun-tahun seterusnya sebagai salah satu daripada acara tahunan KPK.
Sementara itu, seorang peserta Agrikomoditi Walk 2023, Halimah Ali, 41, menyifatkan penganjuran acara tersebut amat baik dalam mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat di samping mencari kenalan baharu.
"Saya bukanlah kakitangan KPK, tetapi saya sertai program ini kerana ia satu bentuk riadah. Malah dalam acara ini saya temui kenalan-kenalan baharu,” katanya.
Seorang lagi peserta, Inrasagita Idrus, 34, berkata, larian santai sebegini menjadi platform terbaik untuk menggalakkan lebih ramai rakyat sertai aktiviti sihat pada hujung minggu.
"Saya sememangnya seorang yang sangat aktif menyertai program sebegini. Jadi saya harap lebih banyak lagi acara seumpama ini diadakan pada masa akan datang," jelas kakitangan swasta itu.
Agrikomoditi Walk 2023 juga turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti sampingan lain antaranya senamrobik, zumba, persembahan ‘buskers’ dan pameran daripada agensi-agensi di bawah KPK.
Antara agensi yang mengambil bahagian dalam pameran itu ialah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!