Nicol mahu lihat lebih ramai ikut jejak Sivasangari

Sivasangari mencapai kedudukan 15 teratas dalam Ranking Dunia PSA.
Sivasangari mencapai kedudukan 15 teratas dalam Ranking Dunia PSA.
A
A
A

LEGENDA skuasy negara, Datuk Nicol David menzahirkan harapannya untuk melihat lebih ramai pemain wanita negara mengikut jejak langkah S Sivasangari mencapai kedudukan 15 teratas dalam Ranking Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dalam masa terdekat.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, skuad kebangsaan bertuah kerana mempunyai barisan pemain wanita yang kuat seperti Rachel Arnold dan Aifa Azman, yang berpotensi untuk menduduki ranking teratas bersama Sivasangari.

“Berdasarkan ranking di atas kertas, Sivasangari menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam kejohanan lepas tetapi yang lain seperti Aifa dan Rachel sedang menyusul.

“Semua atlet wanita ini saling menaikkan...Mereka bersaing siapa yang mahu menjadi nombor satu atau dua untuk Malaysia dan itulah persaingan yang akan meningkatkan tahap ranking. Semoga kita ada lebih ramai (pemain) di ranking teratas,” katanya selepas menerima sumbangan peribadi daripada tokoh korporat Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din kepada yayasannya Pertubuhan Nicol David (NDO) pada Sabtu.

Juara dunia lapan kali itu turut menekankan kepentingan pemain negara mengekalkan konsistensi serta perlu lebih kerap memasuki pusingan 16 terbaik kejohanan selain lebih banyak bermain menentang pemain ranking 15 teratas, dalam usaha meningkatkan ranking.

“Kejohanan disertai mereka sekarang yang akan membantu mereka. Jika mereka bermain menentang pemain 10 atau 15 teratas dan berasa selesa serta mula mengalahkan mereka (pemain ranking teratas) dengan lebih konsisten, di situlah mereka akan melakar kejayaan dan mencapai ranking yang diinginkan,” katanya.

Sivasangari yang juga juara Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini naik ke dua anak tangga dalam Ranking Dunia PSA (27 November) iaitu ke kedudukan ke-15 mengatasi kedudukan terbaiknya ke-16 pada Julai 2022.

Ia pencapaian luar biasa oleh atlet berusia 24 tahun itu selepas ditimpa kemalangan tahun lalu yang menyebabkannya terpaksa berehat selama hampir lapan bulan, sebelum kembali beraksi di Ivy Squash League di New York, Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Ranking dunia Sivasangari menurun hingga ke-50 Jun lalu iaitu kedudukan terendahnya sejak 2017 (ke-61), manakala Rachel pula pada kedudukan ke-27 diikuti Aifa menduduki tempat ke-31 Ranking Dunia PSA. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!