Mike Mahen beri bayangan bersara tahun depan
JAGUH bina badan negara, Datuk Syarul Azman Mahen Abdullah memberi bayangan akan bersara tahun depan, setelah 26 tahun berkecimpung dalam sukan itu.
Beliau yang lebih mesra dipanggil Mike Mahen, mengakui niat untuk bersara sudah terdetik sejak tahun lepas, bagi memberi ruang kepada pelapis baharu namun menangguhkannya kerana 'dipujuk' oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF).
“Dalam hati ini, memang niat nak bersara kerana ikut usia, saya rasa saya atlet paling tua menang kejuaraan dunia dalam kategori terbuka, iaitu ketika berusia 50 tahun.
“Cukup semuanya saya sudah enam kali juara dunia dan Asia malah di Sukan SEA, saya sudah merasai pingat emas tetapi bila saya nyatakan hasrat kepada persatuan, mereka mohon saya kekal dan bertanding untuk tempoh dua tahun lagi sehingga 2025,” katanya selepas menghadiri sesi Kopi, Sukan dan Aspirasi Bersama Atlet Negara pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Mike, bagaimanapun berkata beliau akan berbincang lebih lanjut dengan persatuan mengenai hasratnya itu dan sebarang keputusan akan diumumkan pada satu sidang media, berkemungkinan pada Februari atau Mac depan.
“Sebagai duta baru dilantik Persekutuan Bina Badan dan Sukan Fizikal Asia Tenggara untuk pembangunan bina badan dan kecergasan belia, sudah tentu saya juga mempunyai perancangan. Oleh itu, sebelum saya pergi ke luar negara untuk buat klinik, lebih baik saya berkhidmat dulu untuk negara sendiri,” katanya.
Setelah melihat banyak bakat baharu yang berpotensi dalam sukan itu, Mike juga berhasrat mencurah bakti sebagai jurulatih kebangsaan, agar lebih ramai atlet muda dapat diketengahkan di persada dunia.
Sepanjang penglibatannya dalam sukan bina badan sejak berusia 24 tahun, Mike sudah memenangi hampir semua gelaran termasuk membolot gelaran juara dunia buat kali keenam di Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan pada awal November lepas.
Sebelum itu, beliau juga berjaya meraih gelaran juara Asia keenam di Nepal pada September dan mendapat pengiktirafan sebagai Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022 pada Ogos lepas.
Dalam perkembangan lain, atlet terjun wanita negara Cheong Jun Hoong yang mengumumkan persaraan tahun lepas berkata beliau kini lebih selesa meluangkan bersama keluarga, setelah sekian lama tidak dapat berbuat demikian berikutan komitmen tugas.
“Daripada maklum balas yang saya terima, ramai tidak menyangka sukan terjun ini bukanlah satu aktiviti mudah...saya beritahu mereka, saya banyak mengalami kecederaan, sebab itu mereka agak kasihan kepada saya,” katanya.
Bekas juara dunia itu mengumumkan persaraannya secara rasmi pada Januari tahun lepas, setelah lebih dua dekad penglibatannya dalam sukan berkenaan sejak 1999. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!