Pesona awan karpet Bukit Telipong

A
A
A

KUBANG PASU - Bukit Telipong di Felda Batu Lapan di sini mempunyai keunikan tersendiri apabila menyajikan pemandangan tiga tempat dari puncak iaitu negeri Perlis, pekan Dannok, Thailand dan bandar raya Alor Setar.

Dilengkapi dengan kemudahan kafe di puncak, bukit setinggi 392 meter ini kian menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga pada hujung minggu.

Nurul Hanis
Nurul Hanis

Pemilik Fighter Cafe, Nurul Hanis Ismail, 25 berkata, sejak mengusahakan kafe berkenaan pada tahun 2021, bukit terbabit kian menerima ramai pengunjung daripada serata negeri termasuk Singapura.

"Tarikan di sini adalah awan karpet dan pemandangan tiga tempat dari puncak termasuk Thailand.

"Tapi awan karpet tu kena ikut nasib juga, kalau hujan lebat malamnya, esok pagi adalah awan karpet. Waktu ini ramai yang ambil peluang mendaki seawal jam 5 pagi," katanya ketika ditemui di puncak Bukit Telipong di sini pada Sabtu.

Pengunjung menikmati juadah sambil menikmati keindahan alam
Pengunjung menikmati juadah sambil menikmati keindahan alam

Menurutnya, kafe yang diusahakan bersama keluarga itu pada asalnya dibuka untuk memudahkan peserta kem yang bermalam di puncak.

"Tapi ramai pula yang beli air, jadi dari situ kafe ini makin berkembang sehinggalah jadi seperti sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Kami beroperasi dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari pada setiap hari kecuali Selasa dan Rabu," katanya.

Fighter Cafe mula diusahakan oleh keluarga Nurul Hanis sejak 2021.
Fighter Cafe mula diusahakan oleh keluarga Nurul Hanis sejak 2021.

Jelasnya, harga makanan juga berpatutan iaitu serendah RM1.50 manakala menu signatur pula adalah roti bakar telur yang berharga RM4.50.

Menurut Nurul Hanis, puncak bukit berkenaan juga dilengkapi dengan tandas awam, chalet dan tapak perkhemahan.

Pemandangan menghadap bandar raya Alor Setar dari puncak Bukit Telipong
Pemandangan menghadap bandar raya Alor Setar dari puncak Bukit Telipong

"Selalunya pengunjung ramai pada hari Jumaat Sabtu dan Ahad. Kalau yang tak mampu mendaki kita ada sediakan kenderaan pacuan empat roda untuk naik ke atas dengan harga RM5 seorang," katanya.

Seorang pengunjung, Fateen Diyana Ahmad, 27, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang turut meluangkan masa hujung minggunya mendaki Bukit Telipong.

Fateen Diyana
Fateen Diyana

"Saya bertolak dari rumah bersama kawan (Nor Nabila Badrul, 27) pada jam 6.30 pagi. Kami tiba di sini sekitar jam 9.15 pagi dan mula mendaki.

"Treknya tidak terlalu lasak, saya rasa sesuai untuk yang baru berjinak-jinak untuk mendaki," katanya yang mengetahui tentang bukit terbabit melalui media sosial TikTok.

Menurutnya, pemandangan di puncak sangat cantik dan kafe yang ada di situ turut menjadi tarikan.

"Jarang kita tengok bukit yang ada kafe sekali, jadi bila sampai kat atas ni boleh la rehat sambil makan dan menikmati pemandangan indah," katanya berkongsi pengalaman kali pertamanya di bukit terbabit.

Sementara itu, bagi Effa Natasha Rosli, 25, trek Bukit Telipong ini melalui kawasan kebun getah dan berbatu.

"Trek ini sepanjang 2.8 kilometer dan tak sangka selain Bukit Mok Cun di Kodiang, bukit ini juga ada pemandangan yang indah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!