Harimau Malaya kembali 'mengaum', Malaysia jadi perhatian
ARENA bola sepak negara menikmati tahun memberangsangkan selepas peningkatan prestasi ditampilkan skuad Harimau Malaya yang bukan sahaja menggembirakan peminat tanah air, malah turut membuatkan nama Malaysia kembali menjadi perhatian ramai.
Selepas terkandas di peringkat separuh akhir Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) kepada Thailand awal tahun ini, pasukan negara bangkit mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam aksi persahabatan bermula berdepan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 di Johor Bahru, pada Mac.
Momentum positif skuad bimbingan Kim Pan Gon berterusan apabila Malaysia mengatasi Kepulauan Solomon 4-1 dan berpesta gol membelasah Papua New Guinea 10-0 di Kuala Terengganu, pada Jun sebelum mengikat dua pasukan 100 terbaik dunia, Syria 2-2 dan China 1-1 di Chengdu, September lepas.
Rekod tanpa kalah Malaysia berpanjangan selepas menundukkan India 4-2 pada aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2023 di sini Oktober lepas, namun anak buah Pan Gon gagal menjuarai kejohanan berprestij itu selepas tumpas 0-2 kepada Tajikistan di final sekali gus menamatkan episod kemenangan.
Namun, pada saingan Kumpulan D kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November lepas, Malaysia yang menyasarkan mara ke pusingan ketiga kelayakan buat julung kali mempamerkan prestasi cemerlang pada aksi pembukaan dengan menumpaskan Kyrgyzstan 4-3 di sini dan Taiwan (1-0) di Taipei.
Enam mata penting diraih itu menyaksikan Malaysia mendahului Kumpulan D sebelum bertemu pasukan pilihan Oman di Muscat dan di sini, pada Mac depan diikuti perlawanan menentang Kyrgyzstan di Bishkek dan Taiwan di sini, masing-masing pada Jun.Pada masa sama, dua kemenangan dilakar dalam kempen kelayakan itu menarik perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang memberikan penghargaan menerusi ciapan di laman X, selain turut menjadi buah mulut peminat negara jiran yang memuji kehebatan skuad kebangsaan.
Dalam pada itu, deretan keputusan positif dicatatkan skuad Harimau Malaya melonjakkan kedudukan Malaysia dalam ranking dunia apabila berjaya mendaki sehingga posisi ke-130 pada November yang juga kedudukan terbaik dalam tempoh 17 tahun sejak menghuni tempat ke-127 pada Mei 2006.
Selepas ini, fokus pasukan negara terarah kepada kejohanan dinanti-nanti seluruh peminat bola sepak tanah air iaitu Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan yang menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara dua kali Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
Sementara itu, prestasi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan berada pada tahap agak memuaskan selepas bermula dengan baik apabila menjuarai Piala Merlion di Singapura pada Mac, namun gagal mencapai sasaran layak ke final Sukan SEA di Kemboja dua bulan kemudian.
Pada Ogos, skuad Harimau Muda sekali lagi gagal mencapai sasaran untuk ke final Piala AFF B-23 selepas skuad kendalian E Elavarasan itu tewas kepada Vietnam pada peringkat separuh akhir sebelum tumpas di tangan Thailand pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.Prestasi tidak meyakinkan skuad B-23 negara menimbulkan spekulasi bahawa Elavarasan bakal mengosongkan jawatannya, namun beliau yang merupakan penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan berjaya membawa Malaysia layak ke Piala Asia B-23 2024.
Pada kempen kelayakan berlangsung di Thailand, September lepas, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H menamatkan saingan di tempat kedua selepas mencatat dua kemenangan masing-masing menundukkan Bangladesh 2-0 dan Filipina (4-0) sebelum tewas 0-1 kepada tuan rumah.
Ketika kejayaan pasukan masih segar, Elavarasan membuat kejutan apabila melepaskan jawatannya dan kekosongan itu kini diisi pengendali dari Sepanyol Juan Torres Garrido bagi mengemudi Malaysia memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada kempen Piala Asia B-23 di Qatar tahun depan.
Prestasi ditunjukkan pasukan senior dan B-23 negara itu antaranya dipacu oleh perancangan strategik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Fasa 1 Peta Hala Tuju (F:30) merangkumi 2019 sehingga 2022 yang disifatkan berjaya mencapai kejayaan secara keseluruhan.
Justeru, perjalanan ke arah kecemerlangan dan menyuburkan pembangunan bola sepak negara terus dipergiat FAM apabila melancarkan fasa kedua F:30 bagi tahun 2023 sehingga 2026 pada November lepas, dengan tiga teras utama iaitu penumbuhan permainan, memperkasa organisasi dan pengembangan jenama.Di peringkat domestik, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dibimbing Esteban Solari terus unggul melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menjulang Piala Sumbangsih pada awal musim sebelum mempertahankan Piala FA buat kali kedua berturut-turut dengan menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-0, Julai lepas.
Skuad Harimau Selatan kemudian dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut ketika saingan masih berbaki beberapa perlawanan dan turut menambah koleksi kejuaraan apabila menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam pada itu, biarpun peratusannya rendah tetapi masalah tunggakan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan masih berlaku dalam tahun ketiga era penswastaan kelab tempatan sehingga memaksa segelintir pemain menyuarakan keresahan mereka di media sosial.
Antara pasukan yang terpalit dengan isu tunggakan gaji adalah Kedah Darul Aman FC, KL City dan Kelantan dengan skuad The Red Warriors berdepan kemungkinan tidak dibenar beraksi musim depan selepas masih gagal melengkapkan syarat Lesen Kebangsaan.
Sementara itu, arena bola sepak negara dikejutkan dengan pemergian bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan yang juga seorang jurulatih berpengalaman luas B. Sathianathan yang meninggal dunia akibat kanser pada usia 65 tahun, Julai lepas.
Secara keseluruhan, biarpun masih terdapat kelemahan, 2023 boleh dianggap satu lagi tahun yang memberangsangkan buat bola sepak negara dalam usaha FAM mengangkat semula martabat dan maruah Harimau Malaya di rantau Asia serta misi untuk ‘meloloskan diri’ ke Piala Dunia pada masa akan datang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!