Gucci, Ricks jejak bukti pembunuhan Zayn Rayyan
PETALING JAYA - Dua unit anjing pengesan (K9) Gucci dan Ricks dibawa ke Apartmen Idaman Damansara Damai di sini bagi membantu pencarian bahan bukti berhubung kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang memasuki hari keempat.
Operasi dimulakan sekitar jam 10 pagi dengan anjing pengesan itu dibawa melakukan pemeriksaan di sebuah stor yang terletak kira-kira 200 meter lokasi mayat kanak-kanak autisme berkenaan ditemui.
Pemeriksaan dilakukan kira-kira 10 minit sebelum diteruskan di sekitar Blok R dan Blok S.
Pada Sabtu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, rakaman kamera video papan pemuka (dashcam) turut boleh dijadikan petunjuk membantu menyelesaikan kes bunuh tersebut.
Ujarnya, polis belum menerima sebarang rakaman dashcam daripada mana-mana pemilik kenderaan yang merupakan penghuni apartmen berkenaan.
Pada Rabu, mayat Zayn ditemui dalam keadaan terbaring berdekatan anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai dipercayai dibunuh.
Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat kecederaan pada bahagian tubuh badan mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!