Rebut peluang menang hadiah pangsapuri

Orang ramai mula tiba ke pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi merasai sendiri aktiviti yang terdapat pada hari terakhir Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada Ahad. - Foto: Bernama
Orang ramai mula tiba ke pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi merasai sendiri aktiviti yang terdapat pada hari terakhir Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Disebabkan itu, ramai yang mengambil peluang pada hari terakhir Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di sini untuk mendaftar bagi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah pangsapuri.

Iskandar Chin Abdullah, 39, berkata, jika ada rezeki memenangi cabutan bertuah itu, dia berhasrat menghadiahkannya kepada ibu dan bapanya yang kini menyewa di Seri Kembangan sejak sedekad lepas.

"Kalau menang, saya mahu hadiahkan rumah ini kepada orang tua saya kerana mereka tinggal bersama adik dan saya sendiri belum mampu membelikan mereka sebuah rumah," katanya ketika ditemui Bernama di reruai Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad.

Seorang lagi pengunjung, Siti Nor Baya Sulaiman, 26, berkata, dia yang belum mempunyai rumah pertama berharap rezeki berpihak kepadanya hari ini.

"Saya datang ke reruai Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) untuk bertanyakan mengenai projek baharu dan kebetulan dimaklumkan ada cabutan bertuah, maka saya pun mencuba nasib," katanya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PR1MA, Zulkarnain Zainuddin berkata, lebih 2,000 pengunjung mendaftar untuk cabutan bertuah bermula Jumaat lepas dan jumlahnya dijangka meningkat menjelang petang nanti.

Beliau berkata, nama pemenang bertuah akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI jam 3 petang ini.

Pangsapuri yang ditawarkan itu berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air di Bandar Bukit Mahkota, Kajang bernilai RM260,000. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!