Frankfurt bagai singa lapar - Tuchel
BAYERN Munich diaibkan tanpa kasihan setelah dibelasah Eintracht Frankfurt 1-5 di laman lawan pada malam Sabtu sekali gus membantutkan usaha mereka mempertahankan gelaran Bundesliga musim ini.
Pengendali Bayern, Thomas Tuchel yang terkejut dengan kekalahan itu menyifatkan Frankfurt bagaikan singa lapar di depan pintu gol.
“Kami tidak bertahan secara konsisten dan dihukum tanpa belas kasihan,” ujar Tuchel.
Malah jurulatih berusia 53 tahun itu mengakui sukar menerima kekalahan besar tersebut dan mereka perlu bangkit selepas ini.
“Sebab itulah keputusan ini amat sukar untuk dihadam di papan jaringan. Kami berhak kalah. Bukan 5-1, tetapi kami memang patut kalah. Itulah hakikatnya,” katanya.
Dalam cuaca hujan lebat dan perlawanan sengit di Frankfurt, tuan rumah mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi sentuhan Omar Marmoush, Junior Dina Ebimbe dan Hugo Larsson.
Joshua Kimmich kemudian merapatkan jurang buat Bayern sejurus sebelum masuk ke bilik persalinan.
Memasuki babak kedua Ebimbe sekali lagi meledak yang mengambil kesempatan di atas kesilapan Dayot Upamecano untuk melebarkan jurang gol kepada 4-1.
Ansgar Knauff kemudian melengkapkan kemenangan besar Frankfurt ke atas Bayern apabila menyumbat gol pada minit ke-60.
Mereka menjadi pasukan pertama yang menjaringkan lima gol menentang Bayern dalam tempoh sejam perlawanan liga sejak tahun1975.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!