Godam data: Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat perlu diwujud
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perubahan itu perlu dilakukan oleh Ketua Setiausaha, Ketua Pegawai Eksekutif dan peringkat tertinggi kementerian, mengambil kira ancaman siber kini menjadi cabaran besar kepada kerajaan dalam memastikan keselamatan data kementerian.
Tambahan pula, beliau berkata, banyak modul laman sesawang kementerian perlu ditambah baik atau diperbaharui, justeru ia memerlukan satu perancangan khusus di peringkat kementerian.
"Kita lihat teknik yang digunakan penggodam semakin kreatif dan sofistikated, tidak mustahil mereka menggunakan teknologi AI (kecerdasan buatan) untuk cuba menceroboh, menggodam dan mencuri data kita.
"Jadi saya lihat satu cabaran besar ialah ancaman keselamatan siber yang baru-baru ini kita juga dengar dakwaan pangkalan data Perkeso digodam,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad.
Sementara itu, Fahmi berkata, kerajaan merancang untuk membina 186 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) baharu tahun depan, termasuk di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai usaha merancakkan program keusahawan dalam kalangan rakyat termasuk di luar bandar.
Selain itu, beliau memaklumkan fokus Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tahun depan adalah antaranya memastikan syarikat telekomunikasi (telco) melibatkan lebih ramai anak muda berkelulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), diambil bekerja untuk organisasi itu.
"Perdana Menteri sudah arahkan telco supaya terlibat dalam aspek TVET kerana mereka banyak terlibat dalam pengendalian kerja-kerja pemasangan kabel gentian optik fiber, jadi mereka boleh libatkan ramai anak muda.
"Ini kerana hasrat Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan kerajaan ialah agar institut TVET dkhususkan untuk membantu syarikat berkaitan kerajaan dan beberapa syarikat penting agar mereka sama-sama terlibat, dengan melatih dan mengambil lebih ramai tenaga kerja,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!