Tambang Shuttel Tebrau Woodlands ke Johor Bahru diselaras - Anthony
KLUANG - Kadar tambang tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Shuttle Tebrau antara Stesen Woodlands Singapura dan Johor Bahru akan distruktur semula kepada RM5 bagi kedua-dua hala, dijangka bermula Januari tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tambang baharu berkenaan hanya akan diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja.
Menurut beliau, pada masa ini nilai tambang bagi perjalanan dari Johor Bahru ke Woodlands sebanyak RM5, manakala untuk pulang ke Johor Bahru sebanyak 5SGD.
"Kira-kira 10,000 rakyat negara ini yang menggunakan khidmat perjalanan kereta api ini hampir setiap hari dan dengan penyelarasan harga tambang ini, mereka akan boleh menjimatkan kira-kira RM10 sehari.
"Penyelarasan harga tambang ini juga tidak memerlukan perbincangan dengan kerajaan Singapura kerana Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) adalah milik penuh kerajaan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas hadir untuk merasmikan Konvensyen DAP Johor di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Anthony berkata, perancangan asal Shutttle Tebrau akan dihentikan operasi selepas Sistem Transit Rapid (RTS) Woodlands Singapura ke Johor Bahru yang akan beroperasi pada awal 2027.
"Bagaimanapun dalam tempoh tiga tahun, ia akan memanfaatkan rakyat Malaysia khususnya yang bekerja di Siangapura ketika ini," katanya.
Perkhidmatan tren KTMB Shuttle Tebrau ke Stesen Woodlands, Singapura kembali beroperasi pada 19 Jun tahun lepas setelah lebih dua tahun tidak beroperasi kerana penutupan sempadan antarabangsa disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!