Ancaman harimau, gajah: Orang Asli terpaksa berjimat, tak dapat berburu

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli suku Temiar di Pos Belatim, di sini terpaksa berjimat cermat menggunakan wang bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam perbelanjaan keluarga disebabkan pendapatan terjejas ekoran ancaman haiwan liar di kawasan penempatan itu.

Rahimi Dolah, 44, dari Kampung Kajak berkata, penduduk bukan sahaja menghadapi ancaman gajah liar, malah dua anjing peliharaan cedera diserang harimau kumbang pada 2 November lepas.

Penduduk, katanya kini sentiasa berjaga-jaga dan takut untuk keluar berburu serta mencari hasil hutan untuk dijual sekali gus menjejaskan sumber makanan dan pendapatan mereka.

"Buat masa sekarang, memang kami takut hendak masuk hutan... kalau hendak masuk juga mesti berpakat sekurang-kurangnya empat orang membawa lembing, itu pun pergi tidak jauh hanya di pinggir kampung semata-mata ke kebun dan tidak lagi bermalam di dalam sana.

"Jika dulu kami boleh pergi jauh dari kampung dan masuk hutan mencari sumber makanan, tetapi sekarang hanya berjimat makanan yang ada.

"Kebetulan sebelum ini kami ada membuat persiapan musim tengkujuh dan keluar ke bandar membeli bekalan makanan selepas mendapat bantuan STR,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Pekebun, Endy Bah Kuhoi, 35, dari Kampung Cacuh berkata, penduduk hanya bergantung kepada wang STR dan terpaksa memikirkan jalan lain untuk menjana pendapatan mereka.

"Penduduk di sini mendapat STR berjumlah dari RM600 hingga RM1,200 mengikut jumlah ahli keluarga dan kelayakan.



"Kami gunakan duit STR itu beli bekalan makanan kering yang pada asalnya untuk menghadapi musim tengkujuh ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Sapiah Mohd Nor berkata, pihaknya mengambil maklum serangan dan kekerapan kemunculan haiwan liar di kawasan perkampungan penduduk.
Artikel Berkaitan:


"Kita harap penduduk Orang Asli berhati-hati dan menjaga keselamatan diri dan ahli keluarga mereka. Sebagai langkah jangka panjang, kami dalam proses memasang lampu solar untuk menerangkan kampung-kampung Orang Asli.

"Sebelum ini kita sudah bangkitkan kepada pihak kementerian kerana lampu itu bukan kita nak memeriahkan kampung tetapi demi keselamatan penduduk termasuklah mengelak daripada ancaman haiwan liar," katanya ketika ditemui baru-baru ini.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!