12,300 pesalah bayar 37,242 saman trafik
KUALA LUMPUR - Seramai 12,300 pesalah trafik telah menjelaskan 37,242 saman dalam tempoh dua hari sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini sejak Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, saman itu telah dijelaskan di 14 kaunter bayaran saman termasuk baucar yang dijelaskan melalui portal dan aplikasi MyBayar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan rekod penyelesaian saman sebanyak 87.4 peratus (tidak termasuk penyelesaian saman di kaunter).
Mohd Azman berkata, pihaknya telah mengaturkan 39 petugas dan turut menyediakan kaunter khas bagi warga emas serta golongan kurang upaya (OKU).
"Waktu pengoperasian kaunter bermula pada jam 9 pagi hingga 6 petang, namun dilanjutkan sehingga jam 9 malam bagi memberi ruang kepada masyarakat untuk berurusan," katanya.
Beliau berkata, kempen pengurangan kompaun saman sehingga 50 peratus itu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak hanya menunggu ketika tawaran diskaun diumumkan bagi menjelaskan saman tertunggak milik mereka dan menyarankan agar patuh kepada peraturan serta undang-undang lalu lintas.
"Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!