Jojo 'win' di gelanggang, hati rakyat Malaysia
NAMA petarung muda negara, Johan 'Jojo' Ghazali semakin meniti di bibir rakyat Malaysia selepas mencatatkan prestasi membanggakan dalam arena sukan muay thai antarabangsa.
Bakatnya semakin disedari terutama selepas kejayaan menumpaskan Edgar Tabares, yang merupakan juara Muay Thai Antarabangsa WBC, dalam penampilan sulung aksi Primetime US, ONE Championship pada Jumaat lalu.
Petarung yang baru berusia 17 tahun mewakili Gim Rentap Muaythai itu hanya memerlukan 36 saat untuk menundukkan lawannya menerusi 'knockout' pada pusingan pertama.
Jojo yang mula beraksi di ONE Championship sejak Februari lalu, belum pernah mengalami kekalahan dalam kesemua lima pertarungannya.
Petarung remaja itu berjaya mencapai kontrak enam angka di ONE Championship dengan rekod tanpa kalahnya 4-0 dalam siri acara ONE Friday Fights.
Meskipun masih muda, Jojo dilihat sebagai bintang yang meningkat naik dalam sukan pertempuran tahun ini.
Malah, ada yang membandingkannya dengan juara dunia ONE Flyweight Muay Thai, Rodtang Jitmuangnon.
Menjadi sensasi dan tular
Selain aksi gagahnya pada pertarungan menentang Tabares, lebih menarik perhatian adalah sesi temu bualnya secara langsung di atas gelanggang, yang menyerlahkan karisma tinggi di sebalik usianya yang muda.
“My name, Johan, in Malay it means champion. I will forever be on a mission to prove and live by my name... I will... mark my words... I will be the youngest One Championship Champion ever. Insya-Allah.
"Thank you guys, thank you all the fans from Malaysia. Assalamualaikum Malaysia, what's up korang?" katanya dengan diiringi senyuman.
Rakaman sesi temu bual berkenaan menjadi tular di laman sosial dengan ramai menyifatkan anak muda ini mempunyai masa depan cerah dengan pakej yang lengkap iaitu ketangkasan, bakat, wajah, penampilan dan keyakinan di gelanggang dan hadapan kamera.
Latar belakang
Menurut onefc.com, bapa dan ibu Jojo masing-masing adalah warga Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Bapanya berdarah campuran Melayu, Indonesia dan Jepun.
Kedua-dua ibu bapanya bertemu ketika aktif dalam sukan itu di AS, justeru Jojo mendapat pendedahan sejak kecil.
Jojo dilahirkan di Sarawak dan mempunyai kehidupan yang agak normal, sebelum mula mendalami muay thai ketika berusia 10 tahun. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!