Larangan guna dron pada sambutan ambang 2020
KUALA LUMPUR - Orang ramai dilarang menggunakan dron ketika sambutan ambang tahun baharu 2020 di Dataran Merdeka esok dan tindakan tegas akan diambil jika didapati melanggar arahan berkenaan.
Sambutan ambang tahun baharu digabungkan bersama acara perasmian Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2019.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 1,178 anggota dan pegawai polis Kuala Lumpur akan bertugas mengawal keselamatan dan keadaan trafik di jalan utama sekitar ibu kota pada sambutan esok.
Menurutnya, penutupan jalan juga akan dilakukan secara berperingkat pada jam 8 malam dan dibuka semula selepas acara berkenaan yang dijangka selesai pada jam 12.30 malam.
"Lokasi yang dijangka menjadi tumpuan pengunjung sepanjang acara berlangsung ialah di Kompleks Perbadanan Putrjaya, KLCC, Pavillion, TREC Jalan Tun Razak.
"Lokasi lain ialah Sunway Velocity Cheras, Eco Cheras Mall, Padang Awam Jinjang Utara, Desa Park City, Solaris Publika, Solaris Mont Kiara, Bangsar South, St Regis Hotel, WIP Bangsar, Axiata Arena Bukit Jalil dan Souled Sri Hartamas," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan diri dan tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan.
"Orang ramai juga disarankan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke lokasi dan pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan dan arahan polis. Tindakan saman atau tunda akan diambil kepada kenderaan yang meletakkan kenderaan di tepi jalan terutama di laluan acara tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!