Siti Mariah mohon maaf, mahu buka lembaran hidup baharu

Siti Mariah (tengah) melepaskan kerinduan dengan mencium ibunya, Che Safuan dan bapanya, Hamzah di Kampung Sireh, Naka, Padang Terap pada Ahad.
Siti Mariah (tengah) melepaskan kerinduan dengan mencium ibunya, Che Safuan dan bapanya, Hamzah di Kampung Sireh, Naka, Padang Terap pada Ahad.
A
A
A

PADANG TERAP - Wanita yang menghilangkan diri dan tidak pulang bertemu keluarganya sejak lapan tahun lalu memohon maaf atas kesilapan yang dilakukannya dan mahu membuka lembaran hidup baharu.

Siti Mariah Hamzah, 39, mengakui sebak dan rindu malah perasaan tersebut terlerai sebaik menjejakkan kaki ke rumah ibu bapanya di Kampung Sireh, Naka dekat sini pada jam 12 tengah hari Ahad.

Wanita tersebut kemudiannya tidak melepaskan peluang untuk memeluk dan mencium kedua ibu bapanya iaitu Hamzah Said, 65, dan Che Safuan Abd Rahman, 61, termasuk meminta maaf.

“Saya rasa sebak sangat-sangat, rindu pada mak ayah. Ingat semua benda di sini, ini lah tempat saya dilahirkan.

“Tempat saya main-main kat sini, memang saya sangat-sangat rindu. Saya memang nak mulakan hidup baharu, minta sangat urusan dipermudahkan untuk saya, terima kasih kepada semua yang banyak beri kerjasama,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya dekat sini.

Siti Mariah mahu memperbetulkan kembali keadaan dan memohon doa orang ramai agar urusannya akan dipermudahkan selepas ini.

Sementara itu, Che Safuan berkata, dia sangat bersemangat untuk menyambut kepulangan anak perempuan tunggalnya itu.

Siti Mariah (tengah) memohon maaf atas kesilapannya kepada ibunya, Che Safuan dan bapanya, Hamzah di Kampung Sireh, Naka, Padang Terap pada Ahad.
Siti Mariah (tengah) memohon maaf atas kesilapannya kepada ibunya, Che Safuan dan bapanya, Hamzah di Kampung Sireh, Naka, Padang Terap pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

"Akhirnya dia ada di depan mata, sebelum ini makcik pergi menoreh pun tak bersemangat tapi apabila tahu Kak Long nak balik saya jadi semangat.

"Pagi tadi saya sudah mula masak termasuk sediakan makanan kegemarannya laksa," ujarnya ceria.

Sebagai seorang ibu, Che Safuan sentiasa memaafkan anaknya dan tiada apa yang paling menggembirakan apabila dapat melihat wajah dan memeluk anaknya yang dirindui sejak lapan tahun itu.

"Kita buang yang keruh dan ambil yang jernih, dia tetap anak saya," katanya lagi.

Hamzah semasa ditemui pula bersyukur kerana kepulangan semula anak sulung mereka itu melengkapkan dan menceriakan kembali keluarga tersebut.

Menurutnya, mereka mahu kembali menjadi sebuah keluarga bahagia seperti sebelum ini.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan seluruh ahli keluarga kepada seorang wanita yang hilang selama lapan tahun tidak sabar untuk menunggu kepulangannya yang difahamkan akan tiba pada Sabtu.

Adik kepada Siti Mariah Hamzah yang enggan dikenali berkata, dia dan ahli keluarganya bersyukur apabila menerima berita kakak sulungnya ditemui dalam keadaan selamat dan pulang untuk bertemu semula keluarganya.

Disebabkan itu, menurutnya, mereka telah membuat persediaan menyambut kepulangan anak sulung daripada empat beradik itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!