Hon Jian-Haikal juara lagi
BEREGU lelaki muda negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri meneruskan momentum positif di pentas antarabangsa apabila merangkul gelaran kedua berturut-turut dalam tempoh dua minggu.
Kejayaan kali ini diraih dalam saingan Masters Guwahati di Assam, India, sebentar tadi.
Gelaran tersebut dirangkul selepas pasangan ranking ke-69 dunia itu mengalahkan Lin Bing Wei-Su Ching Heng dari Taiwan pada aksi final di Kompleks Sukan Tertutup Saru Sajai.
Beraksi pada set pertama menyaksikan Hon Jian-Haikal berjaya mengawal permainan untuk menang 21-17 dalam saingan berstatus Super 100 itu.
Situasi cemas hadir pada set kedua ketika Bing Wei-Ching Heng berjaya mengikat Hon Jian-Haikal pada kedudukan 20-20.
Bagaimanapun pengalaman Hon Jian-Haikal yang mula digandingkan pada Ogos lepas berjaya mengatasi situasi itu untuk menang 23-21 dalam aksi selama 39 minit tersebut.
Ia adalah kejuaraan kedua berturut-turut buat Hon Jian-Haikal selepas mereka mengungguli saingan Antarabangsa India Syed Modi di Lukcnow, minggu lalu.
Dalam aksi di Lucknow itu, mereka mengesahkan kejuaraan selepas mengejutkan pasangan ranking ke-16 dunia Akira Koga-Taichi Sato dari Jepun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!