Beri peluang kepada Anwar buktikan diri - Sultan Ibrahim
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyeru rakyat Malaysia agar memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan dirinya.
Baginda bertitah, tidak mungkin Anwar mampu membuat perubahan mendadak dalam tempoh satu tahun.
"Saya tidak fikir anda boleh menukar negara dalam satu tahun.
"Saya fikir (Kerajaan Perpaduan) ada menteri yang baik seperti (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke Siew Fook," titah baginda dipetik dalam wawancara bersama The Straits Times Singapura.
Sultan Ibrahim juga menjangkakan tidak akan ada masalah bekerja dengan Anwar kerana baginda mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.
Baginda bertitah, Anwar kadangkala menghubunginya untuk mendapatkan nasihat, walaupun pada tengah malam.
"Saya akan menyokong kerajaan, namun jika saya fikir mereka melakukan sesuatu yang tidak wajar, saya akan memberitahu mereka," titah baginda.
Pada 27 Oktober lalu, Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pelantikan baginda selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024.
Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun mulai dari tarikh sama.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun, bermula 31 Januari 2019.
@sinarharianonline Beri peluang kepada Anwar buktikan diri - Sultan Ibrahim #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Anwar #Sultan
Eye of the Tiger (Instrumental Version) - From "Rocky" - M.S. Art
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!