Noktahkan kes buli di sekolah

Masalah buli masih berterusan berlaku di sekolah walaupun KPM telah melakukan pelbagai usaha untuk menanganinya. - Gambar hiasan 123RF
Masalah buli masih berterusan berlaku di sekolah walaupun KPM telah melakukan pelbagai usaha untuk menanganinya. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KEHILANGAN pelajar sebuah sekolah berasrama penuh (SBP), Muhammad Danial Akmal Zulkhairi,14, telah membongkar kisah di sebalik kejadian itu apabila dia mendakwa menjadi mangsa buli.

Ibu mangsa, Shuhada Jamaludin, 38, mendakwa, anaknya yang ditemukan orang awam di pondok menunggu bas di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak berhampiran sekolah berkenaan mengakui telah dibuli dengan teruk.

Akibat kejadian tersebut, Muhammad Danial yang mesra disapa Enel bertindak melarikan diri dari sekolahnya pada jam 3 pagi, Khamis lalu.

Isu buli di sekolah berasrama bukanlah perkara baharu di negara ini. Ia sudah lama berlaku dan seolah-olah menjadi satu tradisi dan kelaziman di SBP.

Dalam menangani masalah itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan garis panduan pengurusan buli bagi mengekang gejala salah laku berkenaan dalam kalangan pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, garis panduan itu amat penting dan akan diguna pakai di semua institusi pendidikan di bawah seliaan KPM bagi memastikan isu berkenaan dapat diatasi sepenuhnya.

Dalam masa sama, KPM juga telah menambah bilangan warden sebanyak 63 peratus bermula 1 Ogos 2022 dengan julat sekurang-kurangnya tiga orang di sebuah asrama sebagai langkah pencegahan kes buli.

Ironinya, masalah buli masih berterusan berlaku walaupun KPM telah melakukan pelbagai usaha untuk menanganinya. Keadaan ini menyebabkan ada ibu bapa berasa bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke SBP.

Artikel Berkaitan:

Situasi seumpama ini tidak sepatutnya berlaku kerana murid-murid yang terpilih untuk belajar terutamanya di SBP terdiri daripada pelajar cerdik dan memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Sehubungan itu, perlu ada pendekatan lebih menyeluruh daripada semua pihak untuk menoktahkan masalah buli di SBP.

Peranan warden dalam memantau gerak-geri dan tingkah laku pelajar di asrama perlu diberi perhatian serius.

Tindakan keras juga perlu diambil KPM terhadap sekolah yang tidak mengikuti garis panduan pengurusan kes buli yang telah ditetapkan.

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan mendidik anak-anak mereka supaya tidak menjadi pembuli.

Setiap kali ada peluang bertemu, nasihat anakanak supaya tidak jadi pembuli, bijak mengawal kemarahan dan hormat pelajar lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!