Dunia kecam sikap pilih kasih AS
NEW YORK - Pemimpin-pemimpin dunia, kumpulan hak asasi manusia dan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersatu teguh mengkritik Amerika Syarikat (AS) kerana memveto resolusi badan dunia itu yang menggesa gencatan senjata kemanusiaan di Gaza yang kini mengorbankan lebih 17,400 rakyat Palestin.
Resolusi PBB mengenai jeda kemanusiaan di Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Jumaat gagal diluluskan selepas AS memveto cadangan itu, manakala Britain bertindak berkecuali.
Tindakan pilih kasih AS itu mendapat kecaman pemimpin utama negara-negara Islam termasuk Malaysia, Turkiye dan Oman yang turut mendesak kuasa veto dimansuhkan.
Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard menerusi ciapan di platform X berkata, veto AS itu menunjukkan sikap tidak peduli Washington terhadap penderitaan orang awam yang berdepan angka kematian mengejutkan itu.
Tambahnya, tindakan AS juga telah menjejaskan kredibiliti dan keupayaan UNSC bagi memenuhi mandatnya mengekalkan keamanan antarabangsa.
Senada dengan itu, Doctor Without Borders menerusi Pengarah Eksekutifnya, Avril Benoit berkata, kuasa veto AS menjadikan mereka turut terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Dengan memveto resolusi ini, AS berdiri sendiri dengan menjauhkan diri menentang kemanusiaan selain menyediakan perlindungan diplomatik terhadap kekejaman di Gaza.
“AS juga memberi isyarat bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa boleh digunakan secara terpilih dan nyawa sesetengah orang kurang penting daripada orang lain,” katanya.
Human Right Watch (HRW) pula mengeluarkan kenyataan bahawa selagi AS berterusan memberikan bantuan senjata dan perlindungan diplomatik kerana melakukan kekejaman, mereka sebenarnya berisiko terbabit dalam jenayah perang.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, veto AS menjadikannya bersubahat dalam jenayah perang di Gaza.
“Kedudukan Amerika sebagai agresif dan tidak bermoral, satu pelanggaran terang-terangan terhadap semua prinsip dan nilai kemanusiaan dan mereka perlu bertanggungjawab atas pertumpahan darah kanak-kanak, wanita dan warga emas Palestin di Genting Gaza,” katanya.
Sementara Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh berkata, veto itu sangat memalukan dan satu lagi ‘cek kosong’ diberikan kepada negara pendudukan untuk membunuh, memusnahkan dan mengusir penduduk Gaza.
Duta Besar ke PBB, Dmitry Polyanskiy berkata, mereka menyaksikan depan mata ‘rakan sekerja’ dari AS mengeluarkan hukuman mati terhadap ribuan dan mungkin puluhan ribu lagi orang awam di Palestin dan Israel akan dibunuh.
Pada Jumaat, AS menggunakan kuasa veto membatalkan resolusi yang ditaja bersama hampir 100 negara anggota PBB.
Resolusi itu menerima sokongan 13 ahli UNSC dari Albania, Brazil, China, Ecuador, Perancis, Gabon, Ghana, Jepun, Malta, Mozambique, Switzerland, Rusia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), manakala Britain memilih untuk berkecuali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!