Young Tigers mencari penawar duka
SESUDAH terlepas tiket suku akhir, Malaysia kini mengintai peluang untuk menempatkan diri sekurang-kurangnya di tangga kesembilan keseluruhan pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023.
Justeru, pertemuan menentang Mesir dalam aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-16 hari ini menjadi medan terbaik buat skuad The Young Tigers bangkit menebus kekecewaan mereka layak ke suku akhir.
Pengendali Malaysia, Muhamad Amin Rahim menggesa anak-anak buahnya terus mengekalkan fokus bagi merealisasikan sasaran baharu mereka mengakhiri saingan kali ini di kedudukan kesembilan.
“Apabila sudah terkeluar daripada laluan ke suku akhir, pemain-pemain perlu buang perkara itu (rasa kecewa), sebaliknya kekal fokus (menghadapi perlawanan klasifikasi kesembilan hingga ke-16.
“Sekarang kita perlu siapkan diri dari segi mental (dan fizikal) kerana kejohanan ini perlu diteruskan sehingga hari terakhir. Kejohanan masih belum tamat.
“Tidak ada sesiapa yang boleh rehat, masih ada misi yang perlu diteruskan iaitu pastikan pasukan dapat menamatkan saingan kali ini di kedudukan kesembilan,” katanya.
Mengulas pertemuan menentang Mesir, pasukan yang menghuni tangga tercorot Kumpulan B, Muhamad Amin berkata, dia yakin dengan kemampuan dimiliki barisan pemainnya.
Bagaimanapun, bekas tonggak skuad kebangsaan itu tetap mengingatkan barisan Young Tigers berhati-hati agar tidak terperangkap dengan sebarang muslihat Mesir.
“Saya selalu yakin dengan pemain dan pasukan saya tetapi harus diingat, Mesir bukanlah lawan yang mudah kerana mereka mempunyai kekuatan dari sudut fizikal.
“Sudah tentu kami mahu menang, kami perlu menjaringkan gol dan memecahkan mental mereka. Apabila dapat memecahkan mental lawan, mereka akan mula hilang permainan. Kami boleh kawal permainan.
“Perlawanan ini akan menjadi sengit. Kami hormat mereka tetapi kami kena buat kerja dan saya lebih fokus kepada pasukan sendiri,” ujarnya.
Pada Jumaat lalu, sasaran awal Young Tigers untuk sekurang-kurangnya memburu tiket ke suku akhir berkecai selepas mengalami kekalahan 2-5 kepada Australia dalam aksi terakhir Kumpulan A.
Dua kekalahan, masing-masing kepada Argentina dan Australia menyaksikan Malaysia hanya menduduki tangga ketiga dengan mengumpul tiga mata daripada tiga perlawanan.
“Kita bukan pasukan pilihan Kumpulan A. Kita bermain baik pada perlawanan pertama (menentang Chile), begitu juga ketika berdepan Argentina dan Australia, cuma kita tidak manfaatkan setiap peluang yang ada,” jelas Muhamad Amin.
Jadual Perlawanan
Isnin (11 Disember)
Klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16
Malaysia lwn Mesir (9 pg)
Belgium lwn Kanada (11.15 pg)
Afrika Selatan lwn Chile (3.45 ptg)
Korea Selatan lwn New Zealand (6 ptg)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!