Universiti untuk masyarakat memacu 2020

No Image Caption
A
A
A

SEIRING dengan falsafah dan matlamat penubuhan universiti, kepentingan komuniti dan masyarakat dalam arus perdana pendidikan tinggi negara seringkali dibangkitkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Asas kepada agenda ini ialah kefahaman bahawa pendidikan adalah alat transformasi bagi menyedia jawapan terhadap kepelbagaian masalah semasa yang melanda masyarakat pada masa kini.

Sebagai menteri yang prihatin, beliau membicarakan kepentingan mengembalikan wibawa pengajian tinggi yang relevan kepada komuniti dan masyarakat dengan menekankan kepada aktiviti yang membawa manfaat ketara kepada masyarakat melalui konsep pemindahan ilmu.

Sekali lagi ketika pengumuman ranking oleh QS pada Jun lalu, beliau menekankan supaya universiti memainkan peranan proaktif sebagai wadah yang memikirkan, memperkenal dan melaksanakan pelbagai usaha terarah bagi mentransformasikan komuniti dan masyarakat bersesuaian dengan gagasan beliau, iaitu ‘Sekolah Untuk Komuniti, Universiti Untuk Masyarakat'.

Salah satu faktor menentukan kejayaan sesebuah universiti diletakkan dalam kelompok terbaik dunia adalah berkaitan dengan reputasi di mata umum terutama dalam kalangan masyarakat yang menjadi antara penerima manfaat akhir.

Masyarakat dalam konteks penerima manfaat sesebuah universiti meliputi majikan yang mengambil graduan bekerja, pihak kerajaan dan industri yang bekerjasama dengan ahli akademia bagi aktiviti penyelidikan dan konsultansi serta juga ahli komuniti yang melibatkan diri dalam aktiviti pemindahan ilmu dari universiti ke lapangan.

Reputasi ini juga telah diambil kira oleh QS dalam menentukan skor ranking universiti di seluruh dunia.

Oleh itu, agenda memasyarakatkan universiti atau memperkasa masyarakat melalui pelbagai sumbangan oleh warga universiti akan terus menjadi agenda penting pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, menyedari peri pentingnya usaha membangunkan komuniti dan masyarakat, UPM telah menyediakan kerangka kerja yang lebih jelas sejak 2013 bagi memandu warganya dalam menjayakan aktiviti jaringan masyarakat dan industri (JIM).

Ini meliputi kaedah pelaksanaan menggunakan model quadraplehelix yang melibatkan UPM, kerajaan, industri dan komuniti serta kaedah penilaian impak mengikut sistem kesetaraan bintang kepada semua projek jaringan yang dilaksanakan dan didaftar di Sistem Pintar Jaringan Industri dan Komuniti (ICRIS).

Melalui inisiatif ini, JIM UPM mengunakan model pembangunan komuniti yang dimulakan dengan mengenalpasti kehendak masyarakat berdasarkan isu atau permasalahan yang sedang dihadapi, memastikan penglibatan aktif pelbagai lapisan ahli komuniti, memastikan projek mencapai impak ketara kepada masyarakat dan akhirnya mencapai kelestarian dengan penghakupayaan oleh ahli masyarakat.

Kerangka kerja ini adalah selaras dengan kehendak buku panduan pelaksanaan JIM di universiti awam terbitan JPT pada 2018, iaitu 'Redesign University Higher Education: University, Industry and Community Engagement'.

Bagi memastikan projek JIM UPM mencapai sasaran yang ditetapkan, pihak Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Pusat Hubungan Industri (CIRNET) menggalas tanggungjawab agar memantau dan melaporkan pencapaian secara berkala oleh semua pusat tanggungjawab.

Selain daripada program JIM, aktiviti di bawah portfolio akademik dan antarabangsa (AA) serta penyelidikan dan inovasi (PI) di semua universiti awam Malaysia juga didapati sentiasa menyokong ke semua 10 Lonjakan yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Malaysia Pendidikan Malaysia, Pendidikan Tinggi (PPPM PT) 2015 hingga 2025.

Aktiviti transformasi masyarakat yang dilaksanakan oleh akademia dilaksanakan sama ada melalui aktiviti pengembangan, latihan profesional atau perundingan.

Konsep utamanya adalah menyelesaikan masalah setempat yang telah dikenal pasti melalui apikasi mengubah sikap, amalan atau tingkah laku dan aspirasi melalui input ilmu kesarjanaan dari penciptaan ilmu baharu oleh ahli akademik yang terhasil daripada penyelidikan mereka dan yang mendapat hak intelek.

Beberapa petunjuk prestasi yang mencerminkan kuantiti dan kualiti telah digunapakai bagi tujuan pemantauan dan pelaporan. Sebagai contoh pada tahun 2018, sebanyak 1049 projek jaringan komuniti yang melibatkan seramai 2902 warga UPM telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara.

Usaha memasyarakatkan universiti melalui kaedah turun padang ke komuniti sasaran ini telah berjaya dilaksanakan di 85 daerah yang memfokuskan kepada tujuh kluster dan menyasarkan kepada 42 intervensi yang telah dikenal pasti.

Data tahun lepas juga menunjukkan pencapaian sebanyak 58 projek komuniti yang mencapai tahap empat atau lima bintang mengikut kerangka pengiktirafan projek komuniti yang diguna pakai di universiti.

Selari dengan fokus utama UPM untuk membitarakan pertanian, sebanyak 74 projek pertanian telah dilaksanakan pada tahun 2016, meningkat kepada 122 pada tahun 2017 dan 188 projek direkodkan pada tahun 2018.

Menyedari kepentingan mentransformasi populasi petani, peladang dan penternak serta agensi yang terlibat dengannya, UPM telah memastikan KPI bitara pertanian diberikan perhatian sewajarnya oleh fakulti dan pusat peneraju.

Sesungguhnya UPM dengan 'tagline' Pertanian, Kehidupan, dan Inovasi akan terus berganding bahu secara aktif mentransformasikan masyarakat melalui aktiviti pemindahan ilmu yang berteraskan kepada penyelesaian masalah setempat dan atas kehendak yang telah dikenalpasti oleh ahli komuniti.

Semoga aspirasi ‘Universiti Untuk Masyarakat’ akan terus diperhebatkan lagi dengan inisiatif baharu pada tahun baharu 2020.

* Profesor Datuk Dr Aini Ideris ialah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!