Wanita hamil maut, dua lagi parah

Pasukan bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa dalam kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Lintas Kota Kinabalu.
Pasukan bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa dalam kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Lintas Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang wanita hamil dilaporkan maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Lintas di sini pada tengah malam Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, kesemua mangsa yang belum diketahui identiti berada di dalam Proton Iswara yang bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Austavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.03 tengah malam.

Katanya, seramai 12 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tiga kilometer dari BBP Lintas.

"Kemalangan membabitkan dua kenderaan yang bertembung dan terdapat tiga mangsa terdiri daripada dua wanita bersama seorang lelaki di dalam Proton Iswara.

"Pasukan bomba yang tiba di lokasi bertindak mengeluarkan semua mangsa, dua didapati cedera parah dihantar ke hospital manakala seorang mangsa wanita mengandung disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Seorang pemandu Toyota Hilux berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi ditamatkan pada jam 1.14 pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!