Agong rasmi majlis pemasangan landasan pertama ECRL
KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Pemasangan Landasan Pertama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini pada Isnin.
Majlis yang berlangsung di Tapak Stesen ECRL Seksyen 10 di Gebeng di sini, turut menyaksikan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Duta Besar China Ke Malaysia Ouyang Yujin; Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC), Wang Tongzhou dan Menteri Besar dari tiga negeri Pantai Timur, yang menjadi jajaran ECRL.
CCCC merupakan kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan ECRL, yang melibatkan jajaran sepanjang 665 kilometer (km) dengan keseluruhannya mempunyai 20 stesen termasuk 10 stesen penumpang dan 10 stesen gabungan penumpang serta kargo.
Projek mega yang dirasmikan pada 9 Ogos 2017 dengan anggaran kos bernilai RM50 bilion itu dijadualkan beroperasi pada Januari 2027 dan menawarkan perkhidmatan keretapi penumpang pada kelajuan 160km/j serta keretapi kargo dengan kelajuan 80km/j.
Wang Tongzhou dalam kenyataan yang diedarkan kepada media berkata majlis pelancaran itu juga merealisasikan era baru untuk proses pembinaan infrastruktur mega keratapi ECRL di Malaysia.
"Pemasangan landasan yang dilancarkan menandakan komitmen kami untuk meraikan Malaysia dengan kemajuan, inovasi, dan integrasi ketersambungan mobiliti yang bermakna,” katanya.
Perasmian hari ini menjadi titik permulaan penting untuk pemasangan landasan sepanjang 94 km dari stesen Bandar Pelabuhan Kuantan (KPC) di Gebeng ke Dungun, Terengganu yang dijangka mengambil masa antara tiga ke empat bulan untuk dilengkapkan.
Pemasangan landasan seterusnya akan melibatkan stesen KPC ke Temerloh, dekat sini dan menuju ke arah utara dari Dungun ke Kota Bharu, Kelantan sebelum diakhiri dari Temerloh ke Jalan Kastam, Selangor.
Proses pemasangan menggunakan alat canggih iaitu Mesin Pemasangan Trek CCPG500A, bersama Long Welded Rail (LWR) sepanjang 500 meter dan pre-stressed mono-block sleepers bagi memastikan pembentukan asas yang kukuh, selain dapat mengurangkan getaran semasa keretapi beroperasi bagi keselesaan penumpang.
Peralatan itu juga membolehkan pemasangan landasan berjalan antara 1.5km ke 2.5km sehari, iaitu peningkatan ketara berbanding kaedah kovensional, yang hanya boleh memasang landasan trek antara 500 ke 700 meter sehari. - Bernama
Kemajuan projek ECRL capai lebih 56 peratus
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kadar kemajuan keseluruhan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah mencapai lebih 56 peratus sehingga November lepas.
Beliau berkata, kemajuan projek mega itu selari dengan jadual penyiapan projek dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak pada Disember 2026, dan ECRL dijadualkan beroperasi pada Januari 2027.
"Tahun 2023 juga merupakan tahun kemuncak pembinaan projek ini. Projek ECRL telah memasuki fasa baharu pembinaan sejak awal tahun ini, merangkumi pemasangan rasuk jejambat, pembinaan stesen, dan pembinaan depot kereta api.
"Tidak lama lagi kemajuan Projek ECRL juga akan melibatkan pembinaan sistem elektrifikasi, semboyan dan telekomunikasi bagi pengoperasian kereta api penumpang dan kargonya," katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Pemasangan Landasan Pertama ECRL di Tapak Stesen ECRL Seksyen 10 Gebeng di sini, pada Isnin.
Selepas projek berkenaan siap sepenuhnya, Anthony berkata, penduduk di Pantai Timur akan menikmati lembaran baharu sistem pengangkutan negara yang antara lain membolehkan warga Kuantan tiba di Kuala Lumpur dalam masa satu setengah jam berbanding tiga jam di jalan raya.
Selain itu, Anthony juga memaklumkan sehingga kini 23,000 pekerja terlibat dalam melaksanakan kerja di 1,900 tapak pembinaan sepanjang jajaran, manakala kerja pengorekan terowong menggunakan kaedah gerudi dan letup, telah mencapai penembusan 26 terowong sehingga kini.
"Pengorekan Terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer (km) dengan kombinasi kaedah gerudi, letup serta mesin pengorek terowong, telah mencapai kedalaman hampir enam kilometer bagi kedua-dua bahagian terowong dan dijangka mencatat penembusan pada suku kedua 2025," katanya.
Bagi peringkat kerja jejambat ECRL yang meliputi panjang 145 km, beliau berkata, sehingga kini pemasangan rasuk jejambat telah disempurnakan pada jarak lebih 60 km.
Landasan ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor melibatkan pembinaan 20 stesen, merangkumi 10 stesen penumpang serta 10 stesen gabungan penumpang dan kargo, dengan tujuh di Pahang, Terengganu (enam stesen), Kelantan (dua stesen) dan Selangor (lima stesen).
"Kementerian Pengangkutan optimis bahawa Stesen KPC, Cherating, KotaSAS dan Paya Besar akan memeriahkan lagi pentadbiran daerah Kuantan yang mempunyai lebih 600,000 penduduk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!