Cincin RM3.7 juta milik usahawan wanita Malaysia lesap di Paris
PARIS - Sebentuk cincin berlian milik seorang usahawan wanita dari Malaysia telah dilaporkan dicuri dalam sebuah hotel mewah di Perancis.
Menurut laporan akhbar Perancis, Le Parisien, cincin bernilai AS$800,000 (RM3.73 juta) didapati lesap semasa wanita itu menginap di hotel The Ritz Paris.
Semasa kejadian, wanita yang tidak didedahkan namanya melakukan rombongan membeli-belah di sekitar Place Vendome pada Jumaat. Bagaimanapun, Selepas kembali ke bilik penginapannya, cincin diletakkan atas katil telah hilang.
Beberapa jam kemudian, dia membuat laporan kehilangan barangan kemas itu di sebuah balai polis berhampiran sebelum pegawai polis membuat siasatan lanjut bagi mengumpul bukti di bilik penginapan di hotel sama.
Setakat ini, pihak berkuasa tempatan dan wakil The Ritz Paris enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.
Sumber polis berkata kepada Le Parisien bahawa pihaknya sedang menyiasat kes terbabit.
"Jika kami mengesyaki kecurian ini dilakukan oleh pencuri profesional, kami akan menyerahkan kepada biro khas untuk mengambil alih kes itu.
"Kami masih bercakap tentang kerugian yang sangat besar," kata sumber.
Kecurian barang kemas di Paris bukanlah sesuatu yang luar biasa. Pada September 2018, seorang ahli keluarga Diraja Arab Saudi melaporkan rompakan di The Ritz Paris, di mana dia mendakwa lebih daripada $900,000 (RM4.2 juta) barang kemas telah dirompak.
Sebelum itu, pada 2016, perompak menahan Kim Kardashian dengan mengacukan senjata semasa dia menginap di Hotel No Address yang berdekatan.
Antara barang yang diambil ialah cincin pertunangan berlian 20 karat potongan zamrud dan sehingga kini ia tidak pernah ditemukan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!