Guna kenderaan syarikat kurier seludup minyak masak subsidi

Azman (kiri) menunjukkan minyak masak bersubsidi yang berjaya dirampas menerusi Ops Tiris di sempadan negara di Kota Bharu pada pada Ahad.
Azman (kiri) menunjukkan minyak masak bersubsidi yang berjaya dirampas menerusi Ops Tiris di sempadan negara di Kota Bharu pada pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran menggunakan kenderaan syarikat kurier menerusi Ops Tiris di sempadan negara di sini pada Ahad.

Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, sebanyak 5,100 kilogram (kg) minyak masak berjaya dirampas bersama sebuah lori dan kereta jenis wira aeroback.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, hasil maklumat awam, pihaknya telah mengesan sebuah lori dipercayai membawa barang kurier di sebuah taman perumahan.

"Kami mendapati terdapat beberapa suspek mencurigakan sedang membuat pemunggahan kotak-kotak disyaki berisi minyak masak bersubsidi dari muatan lori kepada kereta.

"Kita tidak menolak kemungkinan barangan tersebut akan dibawa ke pangkalan haram untuk diseludup ke negara jiran," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurut beliau, semasa serbuan dilakukan suspek telah melarikan diri ke dalam semak berhampiran tanpa dikesan.

Ujarnya, nilai rampasan minyak masak bersubsidi dianggarkan berjumlah RM12,750.

Azman memberitahu, kes tersebut akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi suspek ialah menggunakan kenderaan penghantaran kurier mendapatkan bekalan, kemudian memasuki kawasan perumahan dengan kawalan keselamatan.

"Seterusnya membuat pengagihan barangan kawalan kepada penyeludup sebelum dibawa ke pangkalan haram bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa," katanya.

Beliau memberitahu, KPDN Kelantan sentiasa mempergiatkan penguatkuasaan Ops Tiris bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di negeri ini dari masa ke masa.

Tambah Azman, tindakan tegas akan diambil, seterusnya akan dikenakan denda yang tinggi serta dipertuduhkan di mahkamah bagi membendung kegiatan aktiviti tidak bermoral supaya pengguna dapat menikmati sepenuhnya subsidi dibekalkan kerajaan.

"Pengguna boleh melaporkan sebarang aduan berkaitan dengan penyelewengan barang kawalan serta di bawah bidang kuasa KPDN melalui saluran disediakan oleh pihak kementerian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!