'Kit Siang seolah-olah jahil undang-undang' - Takiyuddin

Lim Kit Siang (kiri) dan Takiyuddin Hassan
Lim Kit Siang (kiri) dan Takiyuddin Hassan
A
A
A

PUTRAJAYA - Penasihat DAP, Lim Kit Siang didakwa seolah-olah jahil undang-undang tanpa melihat konvensyen yang diamalkan oleh Malaysia sejak mencapai kemerdekaan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan Kit Siang berhubung isu Perdana Menteri dalam kalangan orang bukan Melayu bukan sahaja mengelirukan malah merupakan ulangan propaganda beracun yang berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

"Sekali lagi Kit Siang bertindak seolah-olah jahil undang-undang tanpa melihat konvensyen yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga kini iaitu bukan sahaja tidak ada orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri juga yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau mendakwa, beberapa pimpinan DAP telah membangkitkan perkara tersebut sejak puluhan tahun yang lalu termasuk pada tahun 2012 oleh mendiang Karpal Singh dan 2017 oleh Kit Siang sendiri.

"Kali ini dengan berselindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Wawasan 2020, Kit Siang dengan sengaja memberikan gambaran yang salah tentang orang Melayu atau citra politik orang Melayu dengan menyebut bahawa kesemua dokumen itu bermatlamatkan Impian Malaysia yang berbilang etnik, agama dan budaya, bukan impian mono etnik," katanya.

Selain itu, Takiyuddin berkata, Kit Siang juga dilihat mengambil peluang membangkitkan perkara tersebut tatkala UMNO sebagai sebuah parti orang Melayu berada dalam keadaan tersepit sehingga menyebabkan parti tersebut membisu seribu bahasa.

"Jelas Kit Siang tidak dapat menyembunyikan prejudisnya terhadap peranan orang Melayu sebagai pemimpin negara atau kedudukan mereka dalam politik dengan mengaitkan Impian Malaysia yang pelbagai etnik agama serta budaya itu secara langsung dengan jawatan Perdana Menteri yang disandang oleh orang bukan Melayu.

"Dengan perkataan lain, Kit Siang seolah-olah beranggapan hanya dengan mempunyai seorang Perdana Menteri bukan Melayu baharulah Malaysia boleh dianggap telah mencapai impian sebagai sebuah negara yang berjaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, Pas mendapati naratif Impian Malaysia Kit Siang hari ini tidaklah terlalu berbeza dengan naratif Malaysian Malaysia yang digagaskan oleh bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu dan diwarisi oleh DAP selepas itu.

"Helah berselindung di sebalik kata-kata manis baik oleh Kuan Yew mahupun Kit Siang tidak dapat menyembunyikan niat sebenar mereka, iaitu mahu menimbulkan polemik serta persoalan tentang kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan," katanya.

Justeru beliau berkata, Pas memberi amaran kepada mana-mana pihak yang masih berdegil dalam membangkitkan perkara seumpama ini supaya berhenti mengamalkan perbuatan mengumpan kemarahan orang Melayu dan Bumiputera.

"Ia juga membawa makna mengundang berulangnya ketegangan dalam masyarakat yang pernah mencetuskan peristiwa hitam perbalahan kaum di negara ini lebih 50 tahun yang lampau," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!