Bilionair ketujuh terkaya di Malaysia meninggal dunia

Individu ketujuh paling kaya di Malaysia, Tan Sri Dr Chen Lip Keong meninggal dunia pada usia 76 tahun, Jumaat lalu.
Individu ketujuh paling kaya di Malaysia, Tan Sri Dr Chen Lip Keong meninggal dunia pada usia 76 tahun, Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu ketujuh paling kaya di Malaysia, Tan Sri Dr Chen Lip Keong meninggal dunia pada usia 76 tahun, Jumaat lalu.

Kematian beliau diumumkan oleh NagaCorp Ltd yang disenaraikan di Hong Kong dan FACB Industries Incorporated Bhd (FACB) yang tersenarai di Bursa Malaysia, hari ini.

Lip Keong merupakan pengasas dan ketua pegawai eksekutif kanan kumpulan NagaCorp dan presiden eksekutif FACB.

NagaCorp berkata, Lip Keong telah mewujudkan asas yang kukuh bagi kumpulan dengan pertumbuhan stabil lebih daripada 28 tahun dan pengalaman keusahawanan, perniagaan dan pengurusan beliau memainkan peranan penting dalam membantu kejayaan kumpulan.

"Di bawah kepimpinan berwawasan Lip Keong, kumpulan telah mencapai pertumbuhan dan pembangunan yang luar biasa selepas bertahun-tahun menerusi pengendalian perniagaan dengan teliti serta pengurusan yang mahir dan strategik.

"Bagi pihak semua kakitangan kumpulan, lembaga pengarah ingin merakamkan kesedihan yang mendalam atas pemergian Lip Keong dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman web syarikat itu pada Isnin.

NagaCorp juga mengumumkan pelantikan semula anak lelaki Chen, Chen Yiy Fon, pengarah eksekutif syarikat itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu, berkuat kuasa 10 Disember.

Yiy Fon sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif operasi sejak 5 April, 2022, katanya.

Artikel Berkaitan:

FACB juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Lip Keong dalam satu makluman berasingan kepada Bursa Malaysia untuk mengumumkan pemergian Lip Keong.

"Bagi pihak semua pekerja kumpulan, lembaga merakamkan kesedihan yang mendalam atas pemergian Lip Keong dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarganya.

"Lembaga Pengarah menghargai sumbangan dan kepimpinan beliau yang tidak ternilai sepanjang 29 tahun bersama kumpulan," katanya.

Menurut senarai 50 individu terkaya Forbes Malaysia yang diumumkan pada 31 Mei, 2023, Lip Keong merupakan indivdiu ketujuh paling kaya di negara ini dengan kekayaan atau nilai bersih AS$2.8 bilion (US$1= RM4.675). - Bernama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!