Penghuni Apartmen Idaman mohon pasang CCTV demi keselamatan
PETALING JAYA - Aspek keselamatan penghuni di Apartmen Idaman, Damansara Damai perlu diberi perhatian serius dan tidak boleh diabaikan berikutan kes pembunuhan membabitkan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Rata-rata penghuni pangsapuri di kawasan berkenaan menyarankan supaya pemegang taruh termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengadakan mesyuarat khusus bagi membincangkan isu itu.
Seorang penduduk pangsapuri Blok S, Reduan Maslam, 46, berkata, ia penting dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan di bangunan kediaman dalam kawasan perumahan tersebut.
"Perbincangan itu boleh merangkumi semua aspek, tetapi paling penting adalah penyediaan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) dalam usaha mencegah insiden kes seperti yang berlaku terhadap Zayn Rayyan.
"Penduduk juga boleh menyalurkan sumbangan bagi menyediakan kemudahan CCTV tersebut dan mungkin setiap penghuni hanya perlu mengeluarkan serendah RM2 seorang," katanya ditemui Sinar Harian pada Isnin.
Seorang lagi penduduk, Mohd Ridhuan Jamaluddin, 46, turut bersetuju sekiranya faktor keselamatan di kawasan apartmen berkenaan dapat ditingkatkan kerana banyak laluan tikus turut dikesan digunakan di situ.
Menurutnya, walaupun kawasan itu adalah perumahan kos rendah dan soal keselamatan memerlukan masa untuk ditingkatkan, namun penduduk tetap berharap untuk mendapat perhatian sewajarnya.
"Saya setuju jika ada cadangan untuk meningkatkan soal keselamatan, dan sebelum ini saya ada dengar ia akan dilaksanakan dan mungkin makan masa," kata bapa lima anak yang bekerja sebagai juruteknik itu.
Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, sebelum ini dia mengambil inisiatif memasang sendiri kemudahan CCTV bagi mengawasi motosikalnya.
Bagaimanapun katanya, kemudahan itu rosak sejak lebih sebulan lalu menyebabkan dia tidak dapat membantu pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan.
"Walaupun fungsi CCTV agak terhad, ia dapat membantu mengenal pasti pergerakan pada waktu-waktu tertentu kerana ia beroperasi secara manual dan tidak menyimpan data secara automatik," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kawasan penemuan mayat Zayn Rayyan tidak diawasi CCTV kerana di luar penyeliaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Idaman.
Malah laluan ke lokasi penemuan mayat mangsa mungkin hanya diketahui penghuni yang tinggal berhampiran Blok R apartmen tersebut.
Apartmen Idaman mempunyai lebih 2,000 unit rumah dengan 70 peratus didiami warga tempatan.
Penyelia JMB, Nor Haizam Hidir dilaporkan berkata, sekitar apartmen tersebut mempunyai empat kamera CCTV yang ditempatkan di laluan keluar masuk kediaman, surau dan kawasan dewan serta pejabat JMB.
Bagaimanapun, menurut beliau, blok kediaman Zayn Rayyan tidak dilengkapi CCTV.
Pada Selasa lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolah jam 12.30 tengah hari, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.
Operasi pencarian dijalankan oleh polis termasuk kerjasama Unit Anjing Pengesan (K9) dan bomba di sekitar kawasan apartmen sebelum mangsa ditemui meninggal dunia pada malam Rabu.
Susulan itu, polis membuka kertas siasatan bunuh selepas proses bedah siasat ke atas Zayn Rayyan mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!