Rombakan Kabinet tak dibincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri
PUTRAJAYA - Tarikh pengumuman rombakan Kabinet Kerajaan Madani terus menjadi teka-teki walaupun hampir lima bulan kekosongan kerusi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu tidak pernah dibangkitkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang lalu.
"Saya fikir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyebut rombakan akan dibuat sebelum tahun 2024, itu yang pasti," katanya ketika ditemui media selepas sesi libat urus Dasar Francais Negara (DFN) 2023 di sini pada Isnin.
Menurutnya, Anwar selaku pemimpin negara mempunyai ruang untuk melihat prestasi kementerian dan komitmen setiap menteri.
"Adalah hak prerogatif Anwar untuk menentukan barisan ahli Jemaah Menteri yang akan membantu beliau untuk meneruskan agenda gagasan Malaysia Madani," katanya.
Ditanya mengenai kesediaan beliau untuk menerajui kementerian itu sekiranya dipilih menjadi Menteri KPDN, Armizan enggan mengulas.
"Tiada komen," katanya ringkas.
Sebelum ini, Anwar berkata, rombakan Kabinet akan dilakukan sebelum tahun depan.
Ia susulan kekosongan kerusi Menteri KPDN selepas kematian penyandang, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Armizan yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) diarahkan memangku jawatan Menteri KPDN sejak 30 Julai lalu.
Terdahulu Armizan berkata, draf Dasar Francais Negara (DFN) 2030 di peringkat akhir untuk dimurnikan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Januari tahun depan.
"Sasaran kita ia akan dilancarkan suku pertama tahun depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!