Kapal persiaran sedang dibaiki musnah terbakar
GEORGE TOWN - Sebuah kapal persiaran yang sedang dibaiki musnah dalam satu kejadian kebakaran di Limbongan Batu Maung, Bayan Lepas dekat sini pada petang Isnin.
Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Pegawai Bomba Kanan II, Rohaizal Abdul Aziz berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.44 petang lalu bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran menyebabkan hampir 70 peratus kapal tersebut musnah.
"Kebakaran melibatkan keseluruhan kapal dengan anggaran peratusan kemusnahan adalah sebanyak 70 peratus.
"Kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula dengan dibantu balai berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, operasi pemadaman kebakaran turut mendapat bantuan daripada BBP Jalan Perak dan Seri Balik Pulau.
"Tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut. Punca dan kerugian belum diketahui, ia masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!