Program beras cupak Masjid Ar Rahman Kerpan bantu penduduk memerlukan
JERLUN - Masjid Ar Rahman Kerpan di sini mengadakan program beras cupak sebagai inisiatif untuk membantu penduduk setempat yang memerlukan.
Setiausaha masjid, Sabri Safie berkata, program berkenaan bermula sejak 2018 dan diadakan pada setiap Jumaat selepas solat Asar.
Menurutnya, peruntukan bagi melaksanakan program terbabit adalah sumbangan orang ramai dalam bentuk tunai dan beras.
"Alhamdulillah sejak harga beras naik, permintaan terhadap program ini makin meningkat.
"Kalau dulu yang datang ambil beras cupak ini sekitar 40 keluarga sahaja tapi sekarang sudah mencapai 60 keluarga," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Menurutnya, setiap keluarga akan menerima sebanyak tiga cupak beras iaitu bersamaan RM10 sebuah keluarga.
"Penduduk di kawasan ini kebanyakannya tidak mempunyai pendapatan tetap dan ramai warga emas jadi program ini amat membantu mereka untuk meneruskan hidup," katanya.
Katanya, kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menyumbang boleh menghubunginya di talian 019-4646643.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!