Hujan peluru di selatan Gaza makin ganas
KHAN YUNIS - Rejim Zionis meneruskan kempen pengeboman ganas ke atas bandar utama di selatan Genting Gaza pada Isnin selepas pejuang Hamas memberi amaran tegas berkaitan syarat pembebasan tawanan.
Peperangan itu semakin sengit sehari selepas unit kereta kebal Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mara ke tengah Khan Yunis yang menjadi medan tempur utama.
IDF turut mencanangkan kepada dunia kononnya puluhan pejuang Hamas telah menyerah diri malah menggesa anggota yang lain berbuat demikian.
Tetapi, Hamas menafikan dakwaan itu yang disifatkan sebagai 'palsu dan tidak berasas' sebagai cubaan untuk menunjukkan 'kehebatan' rejim Zionis di medan perang.
Ketika ini, unit darat dan udara terus menggempur sekitar selatan Gaza yang menjadi tempat berlindung ratusan ribu penduduk dari utara yang hilang tempat tinggal dan meragut hampir 300 nyawa dalam tempoh 24 jam.
Serangan terbaharu itu menyaksikan sebanyak 250 menjadi sasaran IDF termasuk 'kemudahan komunikasi' milik Hamas, terowong rahsia dan pusat perintah pejuang tersebut di Shejaiya di Bandar Gaza.
Sementara itu, Qatar di mana kepimpinan Hamas berpusat memberitahu ia masih mengusahakan gencatan senjata baharu seperti jeda kemanusiaan pada bulan lalu.
"Tetapi, kempen pengeboman tanpa henti IDF menghalang rancangan itu dapat direalisasikan dengan jayanya," kata Perdana Menteri, Sheikh Mohammed Abdulrahman al Thani.
Sekutu kuat Israel sekali lagi menolak 'tempoh bertenang' yang digesa komuniti antarabangsa.
"Konflik itu akan berulang jika Hamas masih berkuasa," kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken sambil menambah kononnya mereka juga khuatir dengan jumlah korban orang awam tidak berdosa yang terus meningkat dan hampir mencecah 18,000 orang dalam tempoh 65 hari. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!