Visi lahirkan juruteknik automotif
Volvo, IKBN meterai MoU bagi merealisasikan matlamat bersama
SEBAGAI usaha untuk meningkatkan taraf pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta menambah jumlah pekerja berkemahiran dalam industri automotif komersial, Volvo Malaysia (Volvo) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
MoU itu antara lain menyediakan pendidikan, latihan teknikal dan vokasional kepada golongan belia di negara ini.
Tujuan utama perjanjian tersebut adalah untuk menyediakan peluang latihan teknikal kepada belia Malaysia dalam usaha menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi kepada negara.
IKBN dan Volvo Malaysia juga akan bersama-sama menjalankan pelbagai program bagi menjadi pemacu utama pembangunan pengajian kurikulum automotif yang lebih baik bagi menghasilkan juruteknik automotif yang berkemahiran.
Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Mitch Peden berkata, Volvo teruja untuk berkongsi kepakarannya dan menyokong pembangunan bakat vokasional dan teknikal di Malaysia menerusi MoU tersebut.
“Sebagai pemain utama industri, peranan kami adalah untuk menggalakkan pertumbuhan pengetahuan dan set kemahiran TVET dengan cara berkongsi standard global serta kepakaran yang kami ada dengan pelajar IKBN,” katanya.
Salah satu inisiatif kerjasama adalah melalui program latihan amali atau internship.
Program yang melibatkan pembabitan Volvo itu akan melibatkan sekumpulan pelajar automotif dari pusat IKBN yang terpilih, ujar beliau.
"Pelajar tersebut akan menjalankan latihan praktikal selama tiga bulan di pengedar Volvo yang terpilih dan akan didedahkan secara langsung kepada persekitaran bengkel yang sebenar.
" Mereka akan dilatih sebagai juruteknik automotif, mempelajari tentang asas servis serta membaiki trak dan bas," katanya.
Peden menambah, kesemua pelajar akan dipantau oleh penyelia bengkel dan pasukan teknikal yang berpengalaman.
Mereka juga akan menerima elaun bulanan sebagai sebahagian daripada latihan praktikal dengan Volvo Malaysia.
" Volvo percaya bahawa kerjasama praktikal yang berterusan sangat diperlukan jika industri dan negara mahukan bekalan juruteknik automotif berkelayakan secara konsisten yang mempunyai kemahiran sewajarnya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!