14 diberkas kes tipu pelaburan, judi dalam talian

Ramli menunjukkan barangan dirampas berhubung kes penipuan pelaburan.
Ramli menunjukkan barangan dirampas berhubung kes penipuan pelaburan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tujuh individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan pelaburan diberkas di sebuah premis di ibu kota, pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yossuf berkata, pihaknya menahan tiga lelaki warga China, seorang lelaki warga Taiwan dan dua lelaki serta seorang wanita tempatan.

"Suspek berperanan sebagai pengurus pejabat, pengurus sumber manusia, penterjemah skrip, pereka laman web dan pembantu pejabat," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Ramli berkata, polis turut merampas 13 telefon bimbit, empat komputer riba, tiga set komputer, satu router serta modem dan sebuah IPad.

"Kita turut merampas wang tunai RM3,855 dan mata wang asing," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, sindiket itu didapati menawarkan skim pelaburan tidak wujud atas nama Alpha Al (Alphaai.vip) yang menawarkan platform pasaran cryptocurrency palsu dengan menyasarkan mangsa rakyat India.

"Ahli sindiket itu telah membina laman sesawang dan mencipta graf pasaran saham palsu bagi tujuan memperdayakan pelabur," katanya.

Menurutnya, kesemua individu warga tempatan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh reman mereka tamat pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

"Manakala empat suspek warga asing ditahan bawah Akta Imigresen 1959 hingga 24 Disember.

"Kes disiasat bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959," katanya.

Dalam kes berasingan, Ramli berkata, seramai tujuh individu berusia 18 hingga 30 tahun ditahan di sebuah premis yang dijadikan sebagai pusat panggilan perjudian dalam talian di Seri Kembangan, Selangor, pada Rabu lalu.

"Seorang daripada mereka berperanan sebagai penyelia dan enam individu lagi bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, sindiket itu menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dengan menyasarkan rakyat Singapura.

"Sebuah lama sosial digunakan untuk mempromosikan aktiviti perjudian itu," katanya.

Menurutnya, polis turut merampas tujuh set komputer, 25 telefon bimbit, satu router, sembilan kad pengeluaran tunai (ATM) dan enam kad sim.

"Kesemua suspek dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!