Isham Jalil dakwa dipecat UMNO tanpa melalui Lembaga Disiplin
SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mendakwa bahawa keputusan pemecatannya dibuat oleh presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa melalui Lembaga Disiplin.
Menurutnya, ramai pemimpin UMNO telah dipecat oleh presiden apabila mereka mengkritik atau tidak bersetuju dengan keputusannya.
“Keputusan ini dibuat tanpa melalui Lembaga Disiplin.
"Dia (Ahmad Zahid) berselindung di belakang Majlis Tertinggi UMNO dan berkata ini adalah keputusan Majlis Tertinggi dan kononnya bukan keputusan dia.
“Beliau masih tidak mahu mengambil tanggungjawab dan kerap menyalahkan orang lain atas kegagalan demi kegagalan dan kali ini Zahid salahkan pengundi putih UMNO.
“Jumlah sebenar ahli UMNO yang aktif dan masih menyokong UMNO kini mungkin hanya tinggal satu per tiga daripada tiga juta ahli yang selalu digembar-gemburkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
Jelasnya, sebelum ini Ahmad Zahid mengatakan kekalahan parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman adalah berpunca daripada 10,000 pengundi putih UMNO tidak keluar mengundi.
Pada 9 Disember lalu, Isham mengesahkan sudah menerima surat pemecatannya daripada parti itu menerusi aplikasi WhatsApp.
Surat itu antara lain menjelaskan MKT UMNO pada 6 Disember lalu memutuskan pemecatan itu berkuat kuasa mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan UMNO kerana tindakan melanggar etika ahli.
Mengulas lanjut, Isham berkata, sekiranya parti enggan melakukan perubahan, berkemungkinan besar UMNO akan hilang semua 26 baki kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ujarnya, parti keramat itu akan kekal bersama Pakatan Harapan (PH) dan menjadi tempelan dalam gabungan tersebut.
“Apabila ini berlaku, UMNO akan hilang maruah dan tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibawa untuk bekalan.
“Oleh itu, UMNO akan kekal bersama PH dan menjadi parti tempelan seperti yang dimahukan.” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!