17 bubu naga dirampas
KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kedah merampas pelbagai peralatan menangkap ikan haram dalam operasi di kawasan pantai Kuala Sala hingga Tanjung Dawai sejak kelmarin.
Pengarah Zon APMM Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya merampas 17 bubu naga dan lima pukat pari dalam rondaan di kawasan perairan Kuala Sala.
Menurutnya, pihaknya menganggarkan nilai rampasan bubu naga ialah RM1,530 manakala pukat pari dianggarkan mencecah RM10,000.
"Kita mendapati bubu naga ataupun bubu kemban ini digunakan tanpa lesen kerana melebihi dua injap yang mana bubu dirampas didapati memiliki kepanjangan antara 10 hingga 20 meter (m) setiap satu.
"Untuk pukat pari, pihak kami mendapati kesalahan dilakukan adalah saiz matanya adalah melebihi 10 inci dan setiap satu yang dirampas panjangnya 50 meter,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahmad Faizal berkata, penggunaan peralatan menangkap ikan tersebut diharamkan kerana mampu menjejaskan sumber perikanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!