Mayat akauntan dipercayai mangsa bunuh ditemukan di tepi jalan
KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dipercayai dibunuh berdekatan Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan mayat berkenaan oleh orang awam kira-kira jam 6 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras dan Forensik IPK Kuala Lumpur kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
"Pemeriksaan mendapati mayat mangsa dalam keadaan tidak berpakaian serta berkedudukan meniarap di tepi jalan selain mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan.
"Siasatan juga mendapati mangsa berumur 28 tahun bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Zam Halim berkata, selain itu tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat terbabit.
"Pegawai perubatan dari Hospital Ampang yang hadir di tempat kejadian telah mengesahkan kematian mangsa.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat," katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung motif pembunuhan mangsa.
"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!