Polis terima 23 laporan kes penyamaran pegawai NSRC

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima 23 laporan berkaitan kes penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melibatkan nilai kerugian RM720,495.20 sejak Januari lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa menerima panggilan individu yang mendakwa pegawai NSRC diminta mengikut segala arahan sehingga mengakibatkan mereka membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan.

"Pegawai itu memaklumkan NSRC akan membatalkan nombor telefon mangsa kerana terdapat aduan bahawa nombor telefon itu telah menghantar pautan haram serta mesej penipuan.

"Panggilan itu kemudian disambung kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Ramli berkata, NSRC adalah pusat yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan ia berbentuk komunikasi sehala sahaja.

"NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu dan sebarang panggilan yang mengaku daripada pihak NSRC adalah satu penipuan," katanya.

Mengulas lanjut Ramli berkata, sejak penubuhan NSRC pada Oktober 2022 hingga 30 November lalu, jumlah kerugian yang dicatatkan melibatkan kes NSRC ialah lebih RM173 juta dan daripada jumlah itu, wang yang berjaya disekat ialah RM33 juta.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!