Petronas LTdL 2019 tingkat ekonomi rakyat setempat

Perlumbaan antarabangsa berprestij tinggi itu yang menjelajah ke banyak lokasi di Malaysia telah menyumbang kepada kegiatan ekonomi rakyat tempatan.
Perlumbaan antarabangsa berprestij tinggi itu yang menjelajah ke banyak lokasi di Malaysia telah menyumbang kepada kegiatan ekonomi rakyat tempatan.
A
A
A

KAJIAN dijalankan oleh penganjur Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 menerusi usahasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapati perlumbaan antarabangsa berprestij tinggi itu yang menjelajah ke banyak lokasi di Malaysia telah menyumbang kepada kegiatan ekonomi rakyat tempatan.

Penganjur Petronas LTdL bagi 2019 sehingga 2021 yang juga Ketua Pengarah Eksekutif Human Voyage (M) Sdn Bhd, Datuk Ahmad Mustafa berkata, kajian dijalankan ketika Petronas LTdL 2019 berlangsung mendapati sebanyak RM13 juta dibelanjakan oleh 20,000 pengunjung.

Menurutnya, secara purata, perbelanjaan pengunjung merangkumi penginapan, makanan, cenderamata perlumbaan, membeli-belah, pengangkutan, bersiar-siar dan hiburan.

"Kajian mendapati bahawa jumlah keseluruhan jualan oleh perniagaan tempatan yang direkodkan sepanjang Petronas LTdL 2019 hampir mencecah RM400,000.

"Langkawi mencatatkan jualan yang paling tinggi iaitu sebanyak RM135,200. Perniagaan yang mencatatkan penambahan jualan harian yang tinggi adalah kedai makanan dan minuman serta kedai cenderamata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara matlamat penganjuran Petronas LTdL adalah mengajak rakyat Malaysia terutamanya di pekan-pekan kecil untuk bersama-sama menyaksikan aksi perlumbaan peringkat antarabangsa di kampung halaman mereka sendiri.

Bagaimanapun katanya, pada masa sama, acara itu membuka rezeki tambahan kepada peniaga kecil di setiap lokasi yang dilalui.

Petronas LTdL 2019 Edisi ke-24 yang bermula pada 6 hingga 13 April lalu disertai 22 pasukan dan menyaksikan perlumbaan sengit di lapan peringkat di Kuala Lumpur – Tampin; Senawang – Melaka; Muar – Putrajaya; Shah Alam – Genting Highlands; Tanjung Malim – Taiping; Bagan – Alor Setar; Pantai Cenang dan Dataran Lang – Kuah di Langkawi.

Artikel Berkaitan:

Ahmad berkata, seramai 761 responden mengambil bahagian dalam kaji selidik dikendalikan oleh pihak UiTM, di mana majoriti pengunjung yang hadir sepanjang acara Petronas LTdL 2019 adalah golongan lelaki dalam lingkungan usia 25 hingga 29 tahun berpendapatan kurang dari RM3,000.


Beberapa penduduk Kampung Tanjin, Terengganu mempromosikan makanan tradisional mereka iaitu keropok lekor dan kuih akok ketika kelompok paloton melalui kawasan kampung mereka.
Beberapa penduduk Kampung Tanjin, Terengganu mempromosikan makanan tradisional mereka iaitu keropok lekor dan kuih akok ketika kelompok paloton melalui kawasan kampung mereka.

Katanya, beliau percaya Petronas LTdL 2020 yang akan bermula 6 Februari dan berakhir pada 15 Februari 2020 akan membuka peluang lebih besar kepada penduduk tempatan.

"Terutamanya jika mengambil kira dari sudut aktiviti yang akan dilaksanakan oleh penganjur bersempena sambutan ke-25 tahun LTdL untuk menyemarakkan lagi sokongan rakyat Malaysia terhadap sukan berbasikal, sesuai dengan tema yang digunakan 'Sports Unite, Cycling Contributes'.

"Lebih bermakna lagi apabila Petronas LTdL 2020 kembali ke Negeri Sabah dan Sarawak selain lokasi di semenanjung seperti Kuala Terengganu, Kerteh, Temerloh, Kuala Lumpur, Putrajaya, Genting Highlands, Kuala Kubu Baharu, Bandar Meru Jaya, Taiping, Pulau Pinang, Bagan, Alor Setar dan Pulau Langkawi," katanya.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan banyak memberikan informasi berguna mengenai penganjuran edisi ke-24 bagi penambahbaikan untuk edisi akan datang.

Menurutnya, antara cadangan yang akan diberikan penekanan ialah menjalankan promosi yang lebih agresif melalui media sosial dan acara sampingan akan ditambah menjadi dua hari bagi setiap peringkat perlumbaan.

"Kami mendengar semua cadangan ini. Bagi penganjuran tahun 2020, acara sampingan akan dijalankan sehari sebelum perlumbaan sampai di setiap lokasi perlumbaan dan bukan lagi pada hari perlumbaan sahaja.

"Begitu juga dengan promosi di media sosial. Kami telah membuka akaun Instagram dan Facebook khusus untuk acara sampingan bagi tujuan promosi selain daripada akaun Instagram dan Facebook yang sedia ada.

"Pada masa sama, kami juga mengaktifkan saluran YouTube khas yang dikenali sebagai HumanVoyageChannel untuk berita-berita yang menarik mengenai Petronas LTdL 2020 khusus buat tatapan rakyat Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!