JDT tekad buru kemenangan ke atas BG Pathum United FC

Ketua Jurulatih JDT Esteban Solari dan Pemain JDT Arif Aiman Hanapi pada sidang media menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL), JDT menentang BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin. - Foto Bernama.
Ketua Jurulatih JDT Esteban Solari dan Pemain JDT Arif Aiman Hanapi pada sidang media menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL), JDT menentang BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin. - Foto Bernama.
A
A
A
WALAUPUN pintu ke saingan pusingan 16 terbaik sudah tertutup, Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap akan memberi persembahan terbaik untuk memburu kejayaan menentang BG Pathum United FC pada aksi terakhir Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di sini, esok.

Pertembungan dianggap pelengkap jadual di Stadium Sultan Ibrahim di sini, ketua jurulatih JDT, Esteban Solari menyifatkan perlawanan itu penting bagi memperbaiki prestasi pasukan dengan berdepan cabaran besar menentang kelab Thailand dibarisi pemain berkualiti.

"Kami akan menunjukkan corak permainan yang sempurna dari segi kekuatan, mentaliti dan komitmen. Barisan pemain fokus dan mahu beraksi dengan baik dan memenangi perlawanan,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini pada Isnin.

Pada masa sama, pemain sayap JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi berkata, beliau bersedia untuk memberikan 100 peratus untuk perlawanan esok dengan harapan memenangi perlawanan terakhir ACL untuk Harimau Selatan.

"Pasukan kami bertekad untuk menang dan tak kisah siapa menjaringkan gol,” katanya.



Sementara itu, ketua jurulatih BG Pathum FC, Surachai Jaturapattarapong mengakui JDT sebagai lawan yang sukar tetapi akan melakukan yang terbaik untuk menamatkan kempen ACL dengan kemenangan.

"Kami akan menggunakan pemain dengan keadaan terbaik untuk perlawanan esok kerana ini adalah perlawanan ACL, tahap bola sepak tertinggi di Asia.

"Ada tiga pemain Heberty Fernandes de Andrade, Bergson da Silva dan Arif Aiman yang kita perlu berhati-hati kerana mereka adalah bintang JDT. Tanpa pemain ini, potensi JDT akan turun 30 atau 40 peratus," katanya.

Selepas lima perlawanan, JDT berada di tangga ketiga dengan enam mata manakala BG Pathum United FC di tangga terakhir kumpulan tanpa sebarang mata. - Bernama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!