Rombakan Kabinet: Majlis angkat sumpah Ahli Dewan Negara dijadual pada Selasa
KUALA LUMPUR - Satu majlis mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara dijadual berlangsung pada pagi Selasa.
Perkara itu dimaklumkan oleh sumber terdekat Dewan Negara kepada Astro AWANI selepas mendapati urusan tersebut baru tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat.
Bagaimanapun, sumber tidak menyatakan nama dan jumlah individu yang akan mengangkat sumpah. Majlis tersebut dijadual berlangsung jam 10 pagi di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Negara.
Dalam pada itu Istiadat Angkat Sumpah Menteri dijadualkan akan berlangsung di Istana Negara pada jam 3 petang Selasa, menandakan rombakan Kabinet pertama di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut sumber dari Putrajaya, beberapa Menteri akan ditukar portfolio dan Jabatan Wilayah Persekutuan akan kembali dinaik taraf menjadi Kementerian.
Bagaimanapun, difahamkan rombakan ini tidak akan melibatkan lebih dari enam orang, dengan tumpuan kepada beberapa kementerian termasuk jawatan Menteri Kewangan Kedua.
Beberapa sumber yang rapat dengan koridor kuasa menjangkakan sosok yang pernah menjawat jawatan Menteri sebelum ini dijangka kembali 'beraksi' sebagai pemain utama.
Persoalan seterusnya, siapa bakal menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)?
Sumber sama turut memaklumkan, mungkin sosok teknokrat bakal diserap ke dalam Kabinet Perpaduan Kerajaan Madani.
Sekali lagi persoalannya, adakah individu tersebut adalah tokoh yang tidak asing dalam arena Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)?
Selain itu difahamkan kebanyakan Ahli Parlimen UMNO yang menjadi menteri akan terus kekal dengan portfolio kementerian masing-masing. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!