Young Tigers banyak buat silap
MALAYSIA berjaya melunaskan misi awal dengan kejayaan membenam Mesir 4-1 dalam aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-16 Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 pada Isnin.
Begitupun, The Young Tigers mensia-sia deretan peluang terhidang dalam aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu apabila hanya menyempurnakan tiga daripada 16 pukulan sudut penalti.
Pengendali Malaysia, Muhamad Amin Rahim berkata, anak-anak buahnya banyak melakukan kesilapan mudah sehingga mereka gagal meraih kemenangan dengan jumlah jaringan yang besar.
“Saya gembira dengan kemenangan yang diperoleh hari ini (Isnin). Kita capai misi pertama untuk berada dalam kelompok sembilan hingga 12.
“Tetapi secara keseluruhan, ada banyak kesilapan mudah daripada segi bertahan dan serangan. 16 PC (pukulan sudut penalti) terhasil tetapi tiga saja gol, ia agak teruk.
“Jadi dalam masa sehari ini (sebelum aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-12) kita kena perbetulkan secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Selepas Mohammad Harris Iskandar Osman menyumbat gol pembukaan menerusi gol padang seawal minit kelapan, Young Tigers memperoleh tiga lagi jaringan hasil pukulan sudut penalti.
Muhamad Fais Harizan meledak gol kedua Malaysia pada minit ke-16 diikuti jaringan Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar (44) dan Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar (50).
Mesir tidak pulang 'tangan kosong' apabila berjaya memperoleh gol sagu hati menerusi jaringan Abdelmonem Basel seminit sebelum perlawanan berakhir.
“Semua pemain tidak beraksi dengan baik kerana berkemungkinan mereka mempunyai mentaliti ambil mudah. Kita tidak boleh letak mindset sebegitu.
“Saya berharap mereka bangun dan perbaiki kelemahan yang ada... bukan sahaja nama besar dalam pasukan, tetapi semua pemain,” ujar Muhamad Amin.
Dalam aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-12 pada Rabu, Malaysia dijadualkan menentang pasukan pilihan, Belgium yang mudah membenam Kanada 12-0.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!