XPDC Integriti 2023 pupuk nilai, budaya integriti
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 147 peserta menyertai program XPDC Integriti 2023 anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) yang berlangsung di sekitar Putrajaya, pada Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Nor Yahati Awang berkata, objektif utama program itu adalah untuk menerapkan nilai-nilai integriti dalam kalangan kakitangan agensi kerajaan dan masyarakat umum.
"Menerusi program ini peserta akan diuji melalui bentuk permainan dan teka-teki yang menyeronokkan agar diterapkan dalam kehidupan harian mereka.
"Secara dasarnya nilai-nilai integriti seperti bersaing secara sihat juga diharapkan dapat dipupuk melalui program yang dianjurkan ini.
"Program ini berkonsepkan 'Treasure Hunt' dan 'Amazing Race' di mana peserta perlu menyelesaikan tugasan-tugasan yang diberikan," katanya ketika merasmikan upacara penutup program berkenaan dan melancarkan pertandingan video integriti 2023, di sini pada Sabtu.
Program itu menyaksikan 40 kumpulan terbentuk, di mana peserta dilepaskan sekitar jam 9.30 pagi dan perlu menghabiskan tugasan pada kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Kumpulan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengungguli tempat pertama dan memenangi hadiah wang tunai RM3,000, sementara Sinar Harian yang mendapat tempat kedua berjaya meraih RM2,000 dan kumpulan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memperoleh tempat ketiga serta membawa pulang RM1,000.
Pemenang tempat keempat dan kelima masing-masing mendapat RM500, manakala tempat keenam hingga ke-10 mendapat RM200.
Sementara itu, menyentuh mengenai pertandingan video integriti 2023, Nor Yahati berkata, penganjuran itu melibatkan kerjasama antara IIM dan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).
Katanya lagi, usahasama itu bertujuan untuk memperkasa dan meningkatkan penerapan budaya integriti dengan lebih berkesan dalam kalangan belia yang merupakan akar umbi masyarakat Malaysia yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.
"Pertandingan ini akan berlangsung dari 10 Disember 2023 hingga 31 Januari 2024 yang mensasarkan penyertaan belia dan pelajar IPTA serta IPTS di seluruh negara berumur 18 tahun hingga 35 tahun secara percuma.
"Penyertaan secara percuma ini diharapkan dapat mengasah bakat dan kemahiran golongan belia untuk berfikir secara kreatif dan kritis bagi menghasilkan medium penyampaian maklumat kepada masyarakat dengan tepat serta menarik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!