Clare, dua lagi diarah bayar RM300,000 kerana fitnah Sultanah Terengganu

Clare Rewcastle Brown (kiri) dan Sultanah Nur Zahirah (kanan)
Clare Rewcastle Brown (kiri) dan Sultanah Nur Zahirah (kanan)
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua pihak lain diarahkan Mahkamah Rayuan, di sini pada Selasa membayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah kerana memfitnah Sultanah Terengganu itu.

Dua lagi pihak ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan syarikat pencetakan Vinlin Press Sdn Bhd.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara, memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Sultanah Terengganu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Ketika membaca keputusan itu, Azhahari Kamal berkata, pihaknya mengambil kira beberapa faktor dalam memberi ganti rugi itu termasuk kurang penyesalan.

Menurutnya, Clare selaku responden pertama mengaku melakukan kesilapan dalam penerbitan namun dia tidak menyatakan perkara itu ketika ditemu bual sebuah portal tempatan dan Sarawak Report masing-masing pada 18 dan 27 September 2018.

Selain itu beliau berkata, Clare tidak memohon maaf kepada Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif sebelum tindakan saman dikemukakan.

“Kami arahkan ganti rugi RM300,000 dibayar oleh semua pihak memandangkan responden kedua dan ketiga (Ton Sin dan Vinlin Press) bertanggungjawab secara bersama.

"Kesimpulannya, Mahkamah Tinggi jelas salah dalam menolak saman plaintif, maka rayuan ini dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan," katanya yang turut bersidang bersama Hakim, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Artikel Berkaitan:

Azhahari Kamal berkata, kenyataan dibuat oleh Clare ialah fitnah apabila Sultanah Nur Zahirah dilihat membantu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low, menjadi Penasihat TIA.

"Pada pendapat kami, ia menunjukkan plaintif menggunakan statusnya untuk menyokong Jho Low dalam mendapatkan jawatan penasihat berkenaan.

"Maka, plaintif didakwa ada kebolehan untuk mempengaruhi kerajaan Terengganu dan terbabit dalam amalan rasuah," katanya.

Sementara itu, Hadhariah memerintahkan kos RM120,000 dibayar kepada Sultanah Nur Zahirah sebagai perayu selepas peguamnya, A Vishu Kumar dan peguam mewakili ketiga-tiga responden, Americk Sidhu, masing-masing memohon kos RM150,000 serta RM80,000.

Pada 31 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman Sultanah Terengganu terhadap Claire, Ton Sin dan Vinlin Press selaku responden berhubung dakwaan fitnah dalam sebuah buku bertajuk 'The Sarawak Report-The inside IMDB Expose'.

Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman pada 21 November 2018, dengan mendakwa kenyataan dalam buku itu antara lain bermaksud Sultanah Terengganu terbabit rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu.

Selain itu, Sultanah Nur Zahirah dikatakan menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Terengganu mendakwa kenyataan itu bermakna Sultanah Terengganu ini membantu Jho Low menjadi penasihat TIA.

Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah meminta ganti rugi am RM100 juta daripada setiap responden dan perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah serta pencetak berhenti mencetak buku berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!