‘Jalan’ syurga buat ibu bapa yang kematian anak kecil

BERSABARLAH...Sesungguhnya kematian anak kecil yang belum baligh akan menjadi 'jalan' syurga buat kedua ibu bapanya yang bersabar. -Gambar hiasan
BERSABARLAH...Sesungguhnya kematian anak kecil yang belum baligh akan menjadi 'jalan' syurga buat kedua ibu bapanya yang bersabar. -Gambar hiasan
A
A
A

LULUH hati kita apabila membaca dan mengikuti berita berkaitan kes kematian serta pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin pada 6 Disember lalu.

Jika kita merasakan sedemikian, inikan pula gelora rasa kesedihan yang menyelebungi kedua ibu bapa kepada anak kecil berusia 6 tahun itu.

Benar, kehilangan orang tersayang begitu memeritkan. Apatah lagi melibatkan kematian anak kecil yang belum baligh.

Terasa belum luput lagi kesusahan mengandung, melahirkan dan membesarkan anak kurniaan ALLAH SWT itu. Namun, kehilangannya membuatkan kita sedar bahawa anak itu hanya merupakan ‘pinjaman’ dan amanah daripada-NYA.

Daripada-NYA kita datang dan kepada-NYA jualah kita kembali.

Kepada mereka yang pernah merasai kehilangan anak kecil, usah berduka.

Ini kerana pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, anak itu menjadi ‘jalan’ syurga buat ibu bapanya.

Artikel Berkaitan:

USTAZ AZHAR IDRUS
USTAZ AZHAR IDRUS

“Andai anak itu sudah dewasa, tetapi OKU (orang kurang upaya) yang tidak dapat menggunakan akalnya dengan betul, ia juga dikira kanak-kanak.

“Sebab itu bertuahnya ibu bapa ini, bukan hanya yang kematian anak (kecil sahaja), tetapi apabila anak tersebut ‘masalah’ (seperti OKU), ibu bapa tersebut bertuah.

“Anaknya sindrom Down, autisme, lembam dan pelbagai masalah, memang susah hendak jaga,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

Sememangnya terdapat nas yang menyatakan ganjaran buat mereka yang kematian anak kecil.

Perkara itu diakui oleh Rektor Kolej Universiti Islam Perlis, Prof Dr Rozaimi Ramle sebagaimana dikongsikan dalam laman web Minda Tajdid.

DR ROZAIMI
DR ROZAIMI

Beliau kemudian mengemukakan beberapa hadis sahih yang memerihalkan tentangnya.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada wanita Ansar: “Tidaklah mati tiga orang anak kepada salah seorang kalian, lalu si ibu itu menyerahkan hal itu kepada ALLAH melainkan wanita itu akan masuk syurga. Seorang wanita daripada mereka bertanya: “Bagaimana jika dua orang, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Atau jika dua orang (si ibu tetap mendapat kelebihan itu).” (Sahih Muslim)

Menerusi satu riwayat lain daripada Sahih al-Bukhari, disebutkan bahawa ia merujuk kepada anak yang belum baligh.

Dalam sebuah hadis lain, Abu Hassan berkata: “Aku bertanya kepada Abu Hurairah RA: Sesungguhnya dua anak lelaki aku telah meninggal dunia. Bolehkah engkau sampaikan apa-apa hadis daripada Rasulullah SAW yang akan melegakan diri kami di atas kematian dua anak kami?”

Abu Hurairah RA menjawab: “Ya, kanak-kanak itu akan menjadi anak-anak di syurga. Apabila salah seorang mereka berjumpa dengan ayahnya atau kedua ibu bapanya, dia akan memegang pakaian atau tangan ibu bapanya sebagaimana aku memegang hujung baju kalian. Dia tidak akan melepaskannya sehingga ALLAH memasukkannya dan ayahnya ke dalam syurga.” (Sahih Muslim)

Bukan itu sahaja, Imam an-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab juga menyatakan, seorang anak yang meninggal dunia akan menjadi penghalang daripada api neraka, begitu juga anak yang keguguran.

Jelas Dr Rozaimi, kebanyakan hadis yang sahih hanya menyebutkan perihal anak kecil belum baligh yang meninggal dunia.

“Sebahagian ulama menyatakan, bayi yang keguguran juga termasuk dalam hal ini.

“Adapun hadis yang secara spesifik menyatakan tentang bayi keguguran adalah hadis yang lemah,” katanya.

Bagi mereka yang diuji dengan kematian anak kecil, bersabarlah dengan ketentuan-NYA. Walaupun sedih, tetapi sifat sabar itu indah yang akan memberi ketenteraman kepada manusia. Yakinlah, janji ALLAH itu pasti benar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!