PH langgar prinsip bila Anwar kekal Menteri Kewangan - Pas
PASIR MAS - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan Pakatan Harapan (PH) melanggar janji yang dibuat menerusi manifesto sebelum ini apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Menteri Kewangan walaupun rombakan Kabinet diumumkan pada Selasa.
Beliau berkata, tindakan itu menunjukkan Perdana Menteri tersebut tidak mempunyai kepercayaan kepada menteri-menteri yang lain untuk melaksanakan tugas sebagai Menteri Kewangan.
"Sejujurnya saya mengharapkan tugas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipecahkan.
"Ia merupakan perkara paling utama yang mahu dilihat oleh rakyat," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar pada Selasa.
Beliau sebelum itu hadir pada Majlis Penyerahan Projek Pelaksanaan Segera Menangani Runtuhan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, di sini.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan Kementerian Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri.
Mengulas mengenai saiz Kabinet, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, beliau berharap ia mampu memenuhi keperluan semasa rakyat.
"Jika dulu Kabinet kecil jimatkan duit rakyat, sekarang...jika ia besar apa lagi alasan kerajaan.
"Saya mengharapkan Kabinet ini lebih bersikap proaktif dan juga praktikal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!